Anda di sini

Judi siber kembali aktif, kini guna modis operandi baharu

Advertisement
 Chandra (depan) menunjukkan tablet yang digunakan suspek dalam kegiatan perjudian siber haram.

LICIK: Chandra (depan) menunjukkan tablet yang digunakan suspek dalam kegiatan perjudian siber haram.

KOTA KINABALU: Selepas berjaya melumpuhkan kegiatan judi siber haram sekitar Kota Kinabalu sejak Ogos 2014, kini jenayah terbabit kembali semula dengan modus operandi baharu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra berkata, sejak Mac lepas, pihakya mendapati kegiatan judi siber haram mula dijalankan dengan menggunakan gajet seperti tablet dan telefon pintar.

Katanya, hasil maklumat awam, pihaknya menyerbu empat buah premis sekitar bandar raya dipercayai menjalankan aktiviti perjudian siber haram.

“Sebanyak 28 tablet dan empat simulator yang digunakan untuk kegiatan perjudian dirampas dalam serbuan berkenaan.

“Antara kawasan serbuan termasuklah premis di Jalan gaya, Pusat Komersil 88, Pusat Komersil Inanam, Sulaman Sentral, dan Manggatal.

“Serbuan terakhir dibuat pada 19 April lepas kira-kira jam 7.20 malam di Sulaman Sentral dan polis berjaya menangkap tujuh individu termasuk seorang wanita yang mengaku sebagai penjaga premis,” jelasnya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, enam lagi lelaki yang ditahan dipercayai sebagai pelanggan dan sebanyak lapan tablet dan sebuah telefon bimbit dirampas.

Menurutnya, kesemua suspek yang berumur lingkungan 32 hingga 69 tahun itu direman untuk membantu siasatan.

Katanya, kes berkenaan  disiasat di bawah Seksyen 4 B Akta Rumah Judi Terbuka yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 dan boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun.

Chandra berkata, suspek akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

Selain itu jelasnya, kegiatan yang dijalankan tidak dibuat secara terbuka dan kebiasaannya pintu sentiasa berkunci menggunakan ‘password’.

Menurutnya, pengunjung premis adalah pelanggan tetap dan kegiatan perjudian secara atas talian tidak lagi menggunakan komputer PC tetapi menggunakan tablet mudah alih yang senang dibawa balik dan disimpan.

Beliau berkata, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap penganjur serta pelanggan yang bermain atau berada dalam premis menjalankan kegiatan perjudian haram.

Pada masa sama, bekalan elektrik di premis judi juga akan dipotong dan tidak boleh disambung tanpa kebenaran bertulis daripada pegawai polis tidak kurang pangkat timbalan penguasa.

Advertisement