Anda di sini

Pendidikan kesedaran alam sekitar wajar dilaksana di peringkat awal

Advertisement

KUCHING: Pendidikan kesedaran alam sekitar wajar dilaksana di peringkat awal usia kanak-kanak agar mampu membentuk generasi baharu yang cintakan alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Azuri Aizah Saedon berkata, pendidikan awal yang diberikan mampu membentuk kumpulan pelajar yang peka tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Sekembalinya kanak-kanak ini ke rumah, mereka mampu menceritakan kembali dan mengingati apa yang telah mereka pelajari berkaitan alam sekitar di tadika dan dengan itu serba sedikit maklumat yang diajar sampai kepada ibu bapa seterusnya bertanggungjawab mengajar amalan seharian yang tidak mencemarkan atau mengotorkan alam sekitar.

“Di pihak ibu bapa pula, saya ingin menyeru agar bersama-sama menunjukkan contoh berkaitan amalan mesra alam yang baik kepada anak-anak ketika berada di rumah agar kita mampu mencorakkan insan yang murni dan prihatin terhadap alam sekitar yang akan diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kesedaran Alam Sekitar Murid Tabika KEMAS sempena sambutan Hari Bumi 2016 di pekarangan Tabika KEMAS Tabuan Hilir di sini, semalam.

Pada masa sama Aizah memberitahu bahawa di peringkat JAS, modul kesedaran alam sekitar bagi kanak-kanak prasekolah diwujudkan sejak 2012 merangkumi lima modul iaitu air, haiwan, tumbuhan, udara dan kitar semula.

“Setiap aktiviti yang disediakan selari dengan kurikulum prasekolah kebangsaan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan dan sejak ia dilaksanakan sebanyak 20 Tabika KEMAS telah terlibat dalam menjayakan program ini,” jelasnya.

Tambahnya, pada tahun lalu sebanyak 20 Tabika KEMAS di bahagian Kuching terlibat dalam pelaksanaan modul tersebut yang bermula 5 April 2015 hingga 4 Mei 2016.

“Semoga komitmen dan kerjasama yang terjalin ini akan berterusan bagi mewujudkan serta memperluaskan pendidikan kesedaran alam sekitar di kalangan kanak-kanak,” ujarnya.

Terdahulu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, untuk membentuk generasi baharu yang cintakan alam sekitar haruslah bermula dari peringkat kanak-kanak lagi.

“Seperti pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitu juga kita kalau mahu melahirkan generasi cintakan alam sekitar didiklah mereka dari peringkat kanak-kanak lagi,” katanya.

Hadir sama Pengurus Kanan Kesihatan Keselamatan dan Alam Sekitar Trienekens Sdn Bhd Harris Michael Deho dan tetamu kehormat lain.

Advertisement