Anda di sini

Kegiatan curi balak lebih RM1 juta tumpas

Advertisement

JASIN: Polis Melaka menumpaskan kegiatan mencuri kayu balak dianggarkan bernilai lebih RM1 juta di sebuah pusat peranginan terbiar di sini Golden Valley Golf Resort seluas 212.5 hektar dengan penangkapan 10 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata mereka yang berusia sekitar 20-an hingga 50-an ditahan di sekitar negeri ini bermula Khamis lepas.

Beliau berkata pihak polis turut merampas tiga buah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah jengkaut dan dua mesin pemotong yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Kita juga menjumpai 10 batang balak yang telah dipotong dan dipercayai belum sempat diangkut keluar dari kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin semalam.

Ramli berkata dianggarkan lebih 100 batang pokok menjadi mangsa tebang kegiatan berkenaan.

Pihak polis turut menyerbu sebuah kilang memproses kayu di Alor Gajah dan merampas 28 kayu balak yang dipercayai dipotong di kawasan pusat peranginan itu yang ditinggalkan kira-kira tiga tahun lepas, katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan dua lagi lelaki yang dikenali sebagai A Nasaruddin Abd Ghani, 51, yang beralamat terakhir di Batu 24 3/4, Rumah Cina Kecil, Alor Gajah dan Razid Ripin, 34, dari Batu 9 1/2 Kampung Rembia, Alor Gajah bagi membantu siasatan.

“Kita berharap dua lelaki ini menyerah diri untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata pencerobohan disedari pengurus projek pembangunan yang melakukan lawatan ke kawasan tersebut Rabu lepas.

Katanya pengurus tersebut mengesyaki terdapat aktiviti haram yang dijalankan selepas bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang mengangkut tong minyak yang dipercayai diesel.

Beliau berkata siasatan awal mendapati aktiviti penebangan dipercayai berlaku sejak Mac lepas dan antara balak yang ditebang termasuk daripada jenis Meranti, Akasia, Ru dan Jelutong pelbagai saiz.

“Kita akan merujuk hal ini pada Jabatan Perhutanan Negeri untuk mengenal pasti jenis pokok yang terlibat dan juga kerugian sebenar akibat kegiatan penebangan haram tersebut,” katanya. — Bernama

 

Advertisement