Anda di sini

‘Kelulut Walk’ dilancar promosi madu kelulut

Advertisement

KANOWIT: Dalam mempromosikan madu kelulut, program Kelulut Walk akan dilancarkan pada hujung tahun ini di Kuala Lumpur.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Sabri Ali adalah individu yang akan menjayakan program tersebut kelak di mana beliau merupakan pejalan kaki solo dari Kemaman, Terengganu termasuk pengamal madu kelulut.

“Sebelum ini beliau berjaya dalam misi berjalan kaki secara solo ke seluruh Semenanjung Malaysia sebanyak dua kali,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ladang Madu Kelulut di Ladang Madu Kelulut RH, Nanga Dap di sini, petang kelmarin.

Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Syarikat Rimbunan Hijau (RH) Tan Sri Datuk Sir Tiong Hiew King, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia Mohd Sallehhuddin Hassan serta rombongan Shabery daripada kementeriannya.

Terdahulu, Shabery serta rombongannya turut melawat pusat pemprosesan madu kelulut RH di RH Bee Farms Sdn Bhd di Jalan Upper Lanang di Sibu.

Shabery memberitahu, program Kelulut Walk adalah acara kali ketiga Sabri Ali sekali gus telah menarik minat syarikat RH Bee Farm Sdn Bhd untuk menaja program ini.

“Pada kali ini, Sabri dikehendaki menamatkan perjalanan dari Semenanjung Malaysia hingga ke Sarawak dalam masa 50 hari dan dalam sehari beliau akan berjalan kaki sejauh 40-50 kilometer.

“Ia akan bermula di Kuala Lumpur dan tempat-tempat seterusnya hingga ke Kepulauan Borneo. Sabri juga akan diterbangkan ke negeri ini untuk meneruskan perjalanan.

“Kita berharap beliau mampu menamatkan tempoh diberi sekali gus namanya dapat dicatatkan dalam Malaysian Book Of Records,” jelasnya.

Tambah Shabery, Kelulut Walk diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016.

“Program ini akan membawa Sabri ke 14 buah negeri, sejauh 2,000 kilometer dan mengambil masa 50 hari sahaja,” katanya.

Menurutnya, program Kelulut Walk amat penting kerana ia satu acara menguar-uarkan MAHA 2016 yang akan diadakan dari 24 November hingga 4 Disember tahun ini, dianjur Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Acara ini juga merupakan salah satu wadah mempromosikan kepada orang ramai mengenai penganjuran pameran pertanian yang terbesar di Malaysia.

“Kelulut Walk juga dianjur bagi menonjolkan madu kelulut sebagai satu produk kesihatan yang berkhasiat tinggi kepada orang ramai serta meningkatkan potensi industri madu kelulut di negara ini,” tambahnya.

Sementara itu, Sabri telah mencatat rekod berjalan kaki sejauh 1,640 kilometer merentasi 12 negeri selama 35 hari pada 2015.

Terdahulu, rekodnya pada 2014, beliau berjaya berjalan kaki secara solo sejauh 1,700 kilometer ke 12 negeri.

Sabri berusia 54 tahun berasal dari Kampung Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu dan seorang pengamal madu kelulut untuk kekuatan staminanya.

Pada lawatan itu, Shabery turut menyampaikan jersi Kelulut Walk bagi pihak RH kepada Sabri yang dilantik sebagai ikon Kelulut Walk 2016.

 

Advertisement