Anda di sini

Kanak-kanak cedera dihempap pokok durian

Advertisement
 Muhammad Ammar Ashraf menerima beberapa jahitan di bahagian kepala selepas dihempap pokok durian berusia 100 tahun yang tumbang di atas bumbung rumahnya di Kpg Bakar Sampah, Sik, malam kelmarin ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

SELAMAT: Muhammad Ammar Ashraf menerima beberapa jahitan di bahagian kepala selepas dihempap pokok durian berusia 100 tahun yang tumbang di atas bumbung rumahnya di Kpg Bakar Sampah, Sik, malam kelmarin ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun cedera di kepala selepas bumbung rumahnya di Kampung Bakar Sampah, Sik dihempap pokok durian berusia 100 tahun malam kelmarin.

Ibunya Norhamidah Ismail, 33, berkata dalam kejadian jam 7.30 malam itu, anaknya Muhammad Ammar Ashraf Mohamad Zamri sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama adiknya Mohamad Haziq Hibatullah, 9, manakala beliau berada di dapur.

“Petang itu hujan turun dengan lebat dan angin kuat. Tetapi semasa kejadian hujan dan angin telah berhenti. Saya sedang memasak apabila saya terdengar bunyi dentuman kuat di tengah rumah.

“Saya terkejut dan terus mencari anak-anak saya dalam gelap kerana bekalan elektrik sudah terputus. Saya terus membawa mereka keluar daripada rumah tanpa mengetahui Muhammad Ammar Ashraf telah cedera,” katanya di Hospital Sultanah Bahiyah di sini semalam.

Beliau berkata jirannya yang turut membantu tersedar bahawa kepala anaknya berdarah dan menolong membawa anaknya ke Hospital Sik.

“Doktor di Hospital Sik kemudiannya mengarahkan anak saya dibawa ke hospital di Alor Setar kerana mendapati tempurung kepala dan hidung anak saya retak. Dia menerima beberapa jahitan di kepala dan kini sudah sedar dan boleh bercakap,” katanya.

Pengarah Briged Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik, Mahadzir Abdul Hamid berkata anggota sukarelawan briged tersebut telah memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang itu. — Bernama

 

 

 

Advertisement