Anda di sini

Tuai rumah adalah jambatan antara kerajaan dan rakyat

Advertisement

SIBU: Tuai rumah berperanan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat harus memahami dasar pembangunan kerajaan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Datuk Joseph Mauh Ikeh berkata langkah itu penting supaya dasar pembangunan kerajaan sampai dengan berkesan kepada rakyat.

“Tuai rumah diamanahkan oleh kerajaan menjalankan tugas sebagai ketua kaum di peringkat akar umbi. Mereka harus memahami dasar pembangunan kerajaan supaya rakyat tahu usaha murni kerajaan di samping dapat menangkis propaganda  pembangkang,” katanya.

Mauh berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Pengucapan Awam anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin di sini petang kelmarin.

Mauh turut meminta tuai-tuai rumah memiliki kemahiran berucap di khalayak.

Katanya, berucap di khalayak amat berbeza dibandingkan dengan percakapan harian dengan ahli-ahli keluarga.

“Berucap di khalayak memerlukan kemahiran terutamanya dalam aspek kebolehan menarik perhatian dan kemahiran hendak menyampaikan ucapan dengan lebih berkesan kepada orang ramai.

“Jika tidak orang ramai menjadi bosan mendengar ucapan kita dan seterusnya apa yang kita hendak sampaikan tidak dapat disampaikan kepada rakyat,” ujarnya.

Oleh itu, Mauh berharap semua peserta dapat menimba ilmu daripada kursus tersebut.

Penceramah terkenal Dr Chalie Dundang dijemput khas menyampaikan ceramah sepanjang kursus itu.

Hadir sama calon Barisan Nasional bagi kerusi DUN Tamin, Ir Christopher Gira Sambang.

Advertisement