Anda di sini

Guru besar selamatkan diri sebelum kereta terbakar

Advertisement

 Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya memadam api dalam masa kira-kira lima minit.

TERBAKAR: Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya memadam api dalam masa kira-kira lima minit.

TAWAU: Seorang guru besar wanita berhadapan detik cemas apabila kenderaannya secara tiba-tiba terbakar dekat Dewan Masyarakat Tawau, di sini, kira-kira jam 6.40 pagi kelmarin.

Utusan Borneo difahamkan, kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan ke sekolah dan lokasi insiden itu berlaku hanya terletak beberapa meter dari sekolahnya.

Mangsa dikatakan terpaksa bergegas keluar dari kenderaanya apabila secara tiba-tiba menghidu bau asap yang datang dari arah enjin sebelum api mula marak.

Menurut Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Faisal Ahmad, pasukannya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.42 pagi.

“Kita menggerakkan lima anggota dan pegawai bersama jentera bomba dan sebuah EMRS,” katanya sambil mengesahkan api berjaya dikawal selang lapan minit kemudian.

Katanya, jarak lokasi kejadian dengan balai bomba adalah kira-kira 2 kilometer dan operasi ditamatkan pada jam 6.54 pagi selepas berjaya dikawal pada jam 6.50 pagi.

Faisal berkata insiden itu mengakibatkan kenderaan mangsa mengalami kerosakan yang teruk dengan kira-kira 90 peratus bahagian kenderaan itu terbakar.

“Mujur tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana mangsa sempat menyelamatkan diri sebelum kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya belum dapat mendedahkan punca kejadian dan jumlah kerugian akibat insiden terbabit kerana siasatan masih lagi dijalankan.

 

Advertisement