Anda di sini

Dadah: Lelaki didenda RM1,500, lima bulan penjara

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM1,500 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine, Ketamine dan Methamphetamine.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Miri selama tempoh dua tahun.

Chee Loke Weng, 27, dari Desa Pujut, Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine, ketamine dan methamphetamine terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 11.25 pagi, pada 7 Oktober 2015 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

 

Advertisement