Anda di sini

Bekas peguam ditemui meninggal dunia di rumah sewa

Advertisement
 Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HQE1 untuk menjalani proses bedah siasat.

MATI MENGEJUT: Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HQE1 untuk menjalani proses bedah siasat.

KOTA KINABALU: Seorang bekas peguam ditemui sudah meninggal dunia oleh rakannya di sebuah rumah sewa miliknya di tingkat tiga, Kompleks Sinsuran, di sini petang kelmarin.

Mangsa, Au Fook Choi @Au Ban, 63, beralamat di Jalan Pahlawan Kota Kinabalu ditemui dalam keadaan terduduk di hadapan komputer ribanya yang masih terpasang di rumah sewa berkenaan kira-kira jam 1.55 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata mangsa ditemui rakannya (pengadu) yang pergi melawat mangsa berikutan beliau sudah lama tidak berhubung dengan mangsa.

“Sebaik tiba di hadapan rumah sewa mangsa, pengadu mendapati pintu jeriji rumah sewa mangsa dikunci dari luar dan bertindak memanggil mangsa beberapa kali.

“Akibat tidak berjawab dan risau akan keadaan mangsa, pengadu bertindak memotong mangga pintu jeriji terbabit sebelum masuk ke dalam rumah dan mendapati mangsa yang dalam keadaan terduduk di sebuah kerusi sudah meninggal dunia,” katanya.

Chandra berkata siasatan awal polis mendapati mangsa sudah meninggal dunia di dalam sebuah bilik dalam keadaan terduduk di atas sebuah kerusi berhadapan meja dengan komputer riba serta pendingin hawa yang masih dalam keadaan terpasang.

“Hasil soal siasat terhadap pengadu yang sudah mengenali mangsa selama 30 tahun mendapati mangsa sudah menetap di rumah sewa itu yang juga dijadikan pejabat sejak 10 tahun lepas.

“Mangsa juga belum berkahwin dan sebelum ini pernah bekerja sebagai peguam bagaimanapun meninggalkan kerjaya berkenaan berikutan mengalami masalah pendengaran.

“Pengadu juga bertindak ke rumah sewa terbabit berikutan mangsa sudah dua bulan tidak menghubungi pengadu seperti kebiasaannya,” katanya,

Beliau berkata, mangsa sebelum ini pernah memberitahu pengadu bahawa beliau menghidap penyakit yang tidak diberitahu dan hanya mengadu sakit di bahagian telinga dan kerongkong.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang unsur jenayah selain jenayah pecah masuk, dan mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk proses bedah siasat.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya.

 

Advertisement