Anda di sini

Bapa temui anak yang sudah tidak bernyawa

Advertisement

TAWAU: Seorang nelayan yang dikhuatiri mati lemas selepas tergelincir daripada bot pukat lengkung di laut Inderasabah, 11 April lepas, berjaya ditemui kira-kira jam 6.30 pagi di perairan sama, kelmarin.

Mangsa, Yusrandi Muhammad Yusuf, 19, berjaya ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan selama empat hari di sekitar kawasan kejadian.

Menurut Pengarah Maritim Daerah Tawau Kapten (M) Anor Jaafar, bapa mangsa yang juga juragan bot pukat lengkung terbabit sendiri yang menemui mayat anak lelakinya.

“Bapa mangsa tidak pulang ke rumah semenjak hari pertama insiden itu berlaku kerana menaruh harapan yang tinggi untuk menemui anaknya semula,” katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak APMM Tawau untuk dibawa ke jeti Tawau sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Tawau untuk bedah siasat.

Anor berkata, mangsa yang juga warga Indonesia difahamkan akan dibawa ke kampung halamannya di Sulawesi untuk dikebumikan.

“Berikutan penemuan mayat mangsa, SAR yang berlangsung semenjak 11 April lepas ditamatkan pada jam 10 pagi tadi (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, APMM Tawau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dalam SAR terbabit sehingga mayat mangsa berjaya ditemui.

 

Advertisement