Anda di sini

Sokongan berterusan kerajaan persekutuan dihargai: TYT

Advertisement

 Tun Juhar memeriksa perbarisan kawalan pasukan keselamatan ketika tiba merasmikan Persidangan DUN Sabah di Bangunan Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

PERSIDANGAN BERMULA: Tun Juhar memeriksa perbarisan kawalan pasukan keselamatan ketika tiba merasmikan Persidangan DUN Sabah di Bangunan Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin melahirkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan berterusan kerajaan Persekutuan, dalam membangunkan Sabah.

Juhar berkata setakat 20 Mac lepas, sebanyak RM4.9 bilion sudah diluluskan kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan 555 program dan projek di Sabah di bawah Rancangan Boleh Pinda Pertama Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Projek terlibat termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, penyediaan infrastruktur dan utiliti luar bandar, perumahan, pengurangan tahap kemiskinan, menambah baik ‘connectivity’ dan ICT serta meningkatkan kualiti pendidikan dan kesihatan di Sabah yang kesemuanya demi menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Sementara itu, pengukuhan aspek keselamatan terutamanya di wilayah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) turut diambil perhatian dengan memberi kelulusan kepada beberapa projek seperti pembinaan Pos Pulau Sipadan, Semporna dan pembinaan Kompleks Perumahan dan Bangunan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran,” katanya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan negeri sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga menunjukkan keprihatinan terhadap isu keselamatan di Sabah dengan meluluskan projek pembangunan Kem Tentera Darat ESSCom di FELDA Sahabat, Lahad Datu serta peningkatan keupayaan radar di kawasan ESSCom.

Mengenai program pembasmian kemiskinan di Sabah, Juhar menyifatkan pelaksanaan program berkenaan berjaya berdasarkan kejayaan menurunkan kadar kemiskinan rakyat di negeri ini iaitu daripada 8.1 peratus pada 2012 kepada 4.0 peratus pada 2014.

Katanya, kerajaan akan meningkatkan kejayaan program pembasmian kemiskinan itu dengan meneruskan pelaksanaan projek Mini Estet Sejahtera (Mesej), program Kampung Sejahtera dan projek pembasmian kemiskinan lain dalam usaha menambah baik kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Justeru, beliau menyeru semua pihak serta rakyat keseluruhannya agar bersatu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan agenda pembangunan di bawah RMK11.

Katanya 2016 merupakan tahun yang amat penting kerana menandakan bermulanya pelaksanaan RMK11 dan setiap projek serta program perlu dilaksanakan sepenuhnya bagi merealisasikan matlamat Malaysia negara maju yang inklusif dan mampan selaras dengan Wawasan 2020.

“Selaras dengan pelaksanaan RMK-11, Kerajaan Negeri sedang menggubal Pelan Tindakan Strategik Jangka Panjang Sabah (Sabah LEAP) 2016-2035 yang meliputi tempoh empat tahun Rancangan Malaysia, betujuan untuk menyediakan hala tuju dan visi rancagan pembangunan jangka panjang Sabah. — Bernama

 

Advertisement