Anda di sini

Majikan disaran beri tempoh munasabah kepada pekerja mereka keluar mengundi

Advertisement

KUCHING: Majikan di negeri ini disaran memberi tempoh munasabah kepada pengundi yang bekerja dengan mereka untuk keluar mengundi pada 7 Mei 2016 pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, ini kerana majikan yang tidak membenarkan pekerjanya keluar mengundi boleh dikenakan denda.

“Majikan yang tidak membenarkan pekerjanya yang menjadi pemilih untuk keluar mengundi boleh didenda sebanyak RM5,000 atau satu tahun penjara sebagaimana diperuntukkan di bawah Subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR yang dihadiri Pengarah SPR Sarawak Datu Takun Sunggah di sini, semalam.

Subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan bahawa setiap majikan hendaklah pada hari mengundi membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi setiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi.

Tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain terhadap mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.

Selain itu Hashim menegaskan bahawa bagi memastikan proses pelaksanaan pilihan raya itu berjalan lancar, semua pihak diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan keselamatan urusan pilihan raya.

“Pemimpin-pemimpin parti politik, calon-calon, petugas dan para penyokong parti serta mana-mana individu yang terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan pihak berkuasa tempatan.

“Begitu juga dengan peraturan pilihan raya serta tata etika berkempen yang ditetapkan semasa tempoh rasmi kempen,” katanya.

Hashim turut memberi-tahu, pada PRN11 ini, SPR telah melantik pemerhati tempatan untuk menjalankan pemerhatian perjalanan proses PRN bermula dari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Para pemerhati kata beliau, dilantik daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.

“Pemerhati rasmi yang dilantik SPR akan diberi pas pemerhati, baju, topi yang perlu dipakai sepanjang membuat pemerhatian tersebut.

“Dalam hal ini, SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRN11,” ujarnya.

SPR selepas mesyuarat khas berkenaan semalam, menetapkan tarikh 7 Mei 2016 sebagai hari mengundi sementara 3 Mei untuk hari mengundi awal dan 25 April 2016 sebagai hari penamaan calon.

SPR menerima pemakluman rasmi speaker DUN Sarawak pada 1 April lepas berhubung pembubaran DUN yang berkuat kuasa 11 April 2016.

Berikutan itu SPR kata Hashim, mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara berkenaan semalam dan menetapkan bahawa satu pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN bagi mengisi kekosongan kerusi-kerusi DUN.

 

Advertisement