Anda di sini

Sertai pertandingan memancing, daftar pagi ini di Marina Bay

Advertisement

MIRI: Kaki pancing yang masih berminat mahu menyertai Pertandingan Memancing Laut Dalam namun tiada bot untuk dinaiki boleh membuat pendaftaran segera di jeti bot Marina Bay di sini pagi ini dan menggunakan kemudahan bot yang disediakan oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Laksamana Pertama Ismail Bujang Pit berkata mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran segera pagi ini dan membayar yuran RM500 serta menaiki bot APMM yang akan berlepas ke laut dalam pada jam 10 pagi ini.

Pertandingan Memancing Laut Dalam anjuran bersama Kelab Pemancing Miri (KPM) dan APMM Wilayah Miri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Sarawak, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) sehingga kini berjaya menarik 52 peserta.

“Daripada jumlah tersebut, tiga dari Brunei, seorang dari Singapura, sembilan dari China dan selebihnya adalah warga Malaysia,” jelasnya pada sidang media di sini, petang semalam.

“Kami masih lagi menerima penyertaan saat-saat akhir sehingga jam 9.30 pagi esok (pagi ini) sebelum majlis pelepasan para peserta pada jam 10 pagi,” katanya sambil menambah pendaftaran mulai dibuka dari jam 8 pagi.

Tambahnya, bagi melancarkan perjalanan pertandingan, pihaknya sudah menyediakan empa bot, tiga daripadanya adalah bot nelayan dan sebuah lagi ialah bot APMM sendiri.

Katanya untuk pertandingan ini, peserta berlepas ke kawasan terumbu Luconia yang terkenal dan akan kembali semula ke daratan pada pagi hari Ahad ini, untuk majlis makan malam dan penutupan rasmi serta penyampaian hadiah pada sebelah malamnya.

Sementara itu, pengerusi penganjur bersama Aaron Abell Donald yang turut hadir pada sidang media tersebut, berkata hasil tangkapan yang diperolehi para peserta kelak akan dijual dan keuntungan daripada jualan tersebut akan didermakan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Morsjaya.

“Ia juga merupakan salah satu cara bagi kami menyumbang balik kepada masyarakat melalui aktiviti seperti ini. Untuk aktiviti kali ini, kami telah memilih PDK Morsjaya sebagai penerima sumbangan kami,” katanya.

Advertisement