Anda di sini

Penguang mampu ubah wajah DUN Marudi

Advertisement
 Penguang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada penduduk setiap kali beliau melawat rumah panjang di konstituensi Marudi.

TURUN PADANG: Penguang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada penduduk setiap kali beliau melawat rumah panjang di konstituensi Marudi.

MIRI: Lawatan tanpa henti calon Barisan Nasional (BN) daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Marudi Datu Dr Penguang Manggil menerusi program Pemimpin Bersama Rakyat di lebih 67 rumah panjang setakat ini memberi inspirasi kepada rakyat untuk yakin hanya calon itu dapat merubah wajah pembangunan Marudi.

Ambat Anggas iaitu anak kepada Tuai Rumah Angas Liban berkata, berbanding kawasan Betong, Mukah dan Samarahan, Marudi masih jauh ketinggalan dan mundur.

“Ketiga-tiga kawasan ini sudah menjadi bahagian penting di Sarawak sedangkan Marudi masih daif. Kita percaya Marudi tidak sebegini rupa sekiranya wakil rakyat benar-benar menggunakan tempoh 20 tahun itu untuk membangunkan kawasan ini.

“Marudi mampu membangun seperti Mukah dan Betong sekiranya wakil rakyat tersebut memberi tumpuan serius melaksanakan pembangunan,” katanya ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Anggas di sini.

Sementara itu, berucap di Rumah Umping Anom, Lubok Mulong di Tinjar, Penguang teruja dan terharu kerana begitu ramai penduduk di konstituensi Marudi menjemput beliau datang ke rumah panjang mereka.

“Berdasarkan kedatangan orang ramai tidak kurang daripada 1,000 setiap kali acara diadakan di rumah panjang, saya sedar mereka bukan datang sesuka hati. Mereka menghantar mesej penting mahukan perubahan dan calon BN baharu untuk mewakili mereka.

“Saya banyak menerima dan mendengar suara rakyat menyatakan masalah membelenggu kerana diabaikan oleh wakil mereka sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, Penguang berharap sokongan padu rakyat di Marudi untuk membolehkan beliau memberi sokongan dan bantuan balasan kepada rakyat.

Sementara itu, Tuai Rumah Benang Pilang berkata Penguang mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 ini dengan majoriti besar.

“Sebagai orang lama dalam politik, saya tidak bimbang dengan keupayaan Penguang. Beliau seorang yang berpengalaman dalam pentadbiran dan mempunyai rekod cemerlang yang konsisten. Sudah pasti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan memilih calon yang terbaik seperti beliau,” katanya.

Naib Pengerusi Kanan Pemuda SPDP Francis Menden berkata Penguang merupakan calon popular di Marudi dan diterima begitu baik oleh semua kaum termasuk masyarakat Cina, Melayu dan sebagainya.

 

Advertisement