Anda di sini

Halimah nafi terlibat hendak jatuhkan Mohamed Khaled

Advertisement

JOHOR BAHARU: Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique semalam menafikan beliau antara timbalan menteri dari Johor yang didakwa terbabit dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Halimah berkata beliau tidak faham bagaimana timbulnya ‘cerita-cerita’ tidak betul itu sekali gus menyifat-kan ia sebagai tindakan yang sengaja mahu mengelirukan rakyat Johor.

“Saya hendak jelaskan, cerita tentang gerakan mahu menjatuhkan Mohamed Khaled adalah cerita tidak betul.

“Kami timbalan-timbalan menteri yang bekerja di Kuala Lumpur membawa mandat rakyat Johor kepada kerajaan persekutuan.

“Kami setia kepada Sultan Johor dan negeri Johor. Kenapa timbul langau-langau yang hendak mengelirukan rakyat dan sengaja mencetuskan perbalahan,” katanya.

Ahli Parlimen Tenggara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran skim perumahan mampu milik swasta (MyHome) Bandar Dato’ Onn, di sini semalam.

Laporan baru-baru ini menyebut terdapat gerakan diketuai seorang individu untuk menukar Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar.

Halimah berkata kepimpinan Mohamed Khaled di Johor dapat dinilai menerusi pelbagai perubahan dan kemajuan yang dicapai negeri ini.

Katanya, segala pembangunan yang dirancang kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamed Khaled merupakan agenda rakyat dan memahami aspirasi rakyat.

“Jadi, kepada rakyat Johor, janganlah percaya cerita-cerita fitnah ini yang sengaja digerak-kan untuk memecahbelahkan perpaduan bangsa Johor,” katanya. — Bernama

 

Advertisement