Anda di sini

T-Team benam Sarawak

Advertisement

KUCHING: Sarawak gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tewas 2-0 di pangkuan pasukan berstatus kelab, T-Team pada perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Negeri di sini malam tadi.

Sebaik wisel pertama dibunyikan oleh pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar pasukan tuan rumah, Sarawak memulakan asakan awal dan minit ke-18, Junior Aparecido memperolehi peluang terbaik menghasilkan jaringan.

Namun, sepakan percuma di luar kotak penalti pasukan pelawat gagal disempurnakan oleh Junior dan ditangkap kemas penjaga gol T-Team, Muhammad Ilham.

Hampir 30 minit berlalu, perlawanan agak hambar malah kedua-dua pasukan gagal melakukan percubaan bahaya ke kubu lawan masing- masing.

Tamat babak pertama kedua- dua pasukan masih terikat dengan kedudukan 0-0.

Bermula babak kedua, pasukan pelawat banyak melakukan asakan dan minit ke-54 pemain importnya, Konate Makan berjaya menjaringkan gol hasil tandukan bola hantaran sepakan sudut.

Minit ke-62, Sarawak melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Syahrul Azwari Ibrahim dan memasukkan Tommy Mawat.

Kemasukan Tommy gagal menguatkan jentera serangan pasukan Ngap Sayot apabila pasukan pelawat menjaringkan gol kedua menerusi Dilshod Sharifudinov pada minit ke-69.

Advertisement