Anda di sini

Elak kejadian belum sahih menjadi viral

Advertisement
 P.Kamalanathan (duakanan) memberi soalan kuiz kepada murid-murid selepas merasmikan Jelajah Pesta Buku Kuala Lumpur 2016 di Dewan Sekolah Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat Rawang, semalam. — Gambar Brnama

RAMAH MESRA: P.Kamalanathan (duakanan) memberi soalan kuiz kepada murid-murid selepas merasmikan Jelajah Pesta Buku Kuala Lumpur 2016 di Dewan Sekolah Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat Rawang, semalam. — Gambar Brnama

RAWANG: Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan pekeliling melarang semua guru memuat naik gambar atau klip video sesuatu insiden yang berlaku di sekolah dalam media sosial.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata pekeliling itu akan dikeluarkan secepat mungkin bagi mengelak kejadian yang belum disahkan benar, menjadi viral sehingga memberi kesan negatif kepada semua pihak.

“Saya minta pihak sekolah supaya berhati-hati dan menyiasat sesuatu insiden sebelum ia diviralkan. Kita tidak boleh viralkan gambar dan video tanpa fikirkan akibatnya kepada pihak terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Pesta Buku Antarabangsa 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa, Bukit Jelutong dekat sini, semalam.

Beliau diminta mengulas insiden seorang murid tahun dua di sebuah sekolah di Klang yang mendakwa dibuli dan dipaksa memotong lidahnya sendiri oleh lima murid tahun tiga pada 24 Mac lepas.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat kelmarin mengesahkan tiada unsur buli dalam insiden itu.

Gambar murid itu dengan hujung lidahnya terpotong sedikit, yang dipercayai dimuat naik oleh seorang guru, menjadi viral di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil kepada guru berkenaan, Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat kementerian.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan akan memberi kaunseling kepada murid terbabit supaya beliau kembali bersemangat untuk meneruskan pembelajaran di sekolah. — Bernama

 

Advertisement