Anda di sini

Tujuh orang terima bantuan zakat daripada TBS

Advertisement

BINTULU: Seramai tujuh orang menerima bantuan zakat daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) sempena Taklimat Khas Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Bersama Mufti Sarawak di sini.

Mereka terdiri daripada empat penerima bantuan sara hidup pada Januari hingga Mac iaitu Siti Rosmawati Abdullah menerima RM900, Rosli Aseng Abdullah (RM624), Jeliha Nabi Ahmad Khan (RM804) dan Muhammad Aznil Astawi (RM720).

Penerima bantuan rawatan dan perubatan ialah Kusumawati Seli menerima RM624 dan Mohammad Solehin Abdullah (RM864).

Manakala penerima bantuan kecemasan RM656 ialah Nuraini Abdullah. Keseluruhan bantuan disalurkan ialah RM5,192.

Jumlah bantuan rawatan dan perubatan diberikan kepada asnaf di negeri ini dari 1 Januari hingga 18 Mac 2016 ialah RM13,936 dan bantuan sara hidup RM41,088 untuk tempoh sama.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip.

Terdahulu, dua sesi ceramah diadakan mengenai ‘Fatwa dan Hukum Berhubung Zakat’ disampaikan Mufti Negeri Datu Kipli Yassin dan sesi kedua mengupas tajuk ‘Baitulmal: Peranan dan Fungsinya Masa Kini’ oleh Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohamad Shibli Abang Mohd Nailie.

Turut hadir Ketua TBS Bintulu Zaini Ramli, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu Syed Harold Salleh Wan Mohamad dan Pemanca Rosli Kamaruddin.

 

Advertisement