Anda di sini

Anggota RELA diiingat tidak menyalahgunakan kuasa

Advertisement

MIRI: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diingat supaya tidak menyalahgunakan kuasa yang ada kerana ia bukan sahaja akan menjejaskan imej RELA, tetapi juga imej kerajaan.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, anggota RELA perlu berdisiplin dan sentiasa menjaga imej serta tingkah laku mereka ketika menjalankan tugas membantu menjaga keselamatan sekitar.

“RELA antara organisasi  penting dalam negara kita kerana mereka juga memainkan peranan untuk menjaga keselamatan dan keamanan.

“Oleh itu, sebagai anggota beruniform tersebut, RELA harus menjalankan tanggungjawab dengan berdisiplin dan tidak menyalahgunakan kuasa diberikan kepada mereka yang boleh menjejaskan imej RELA itu sendiri,” jelas Lee.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama RELA di ruang legar Permy Mall Miri di sini, petang kelmarin.

Lee berkata anggota RELA bukan sahaja berperanan meningkatkan keselamatan, tetapi mereka juga terlibat membantu dalam aktiviti  kesukarelaan lain seperti gotong-royong atau majlis besar.

“Peranan anggota RELA di kawasan perumahan atau di kampung-kampung adalah penting bagi membantu dari segi keselamatan khususnya mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan.

“Bahkan, anggota RELA turut terlibat membantu mengawal keselamatan dalam acara atau majlis besar di sesuatu kawasan,” ujarnya.

Sementara itu pada majlis berkenaan, seramai 265 anggota baharu RELA telah mendaftar di kawasan Senadin.

Jelas Lee, sehingga kini lebih 3,000 anggota RELA telah mendaftar di konstituensi Senadin dan jumlah terbabit masih belum mencukupi.

“Kita menyasar sehingga 10,000 anggota yang mendaftar sebagai RELA yang bukan sahaja merangkumi kawasan Senadin tetapi di seluruh kawasan Miri,” katanya.

Tambah beliau, anggota RELA akan diberi latihan serta kursus berkaitan bagi meningkatkan pengetahuan dalam menjalankan tugas mereka.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya RELA Rini Tupong.

Advertisement