Anda di sini

Masjid, surau di S’gor diarah kurangkan pembaziran air

Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu pihak pengurusan masjid dan surau di negeri itu mengenakan amalan penggunaan air secara berhemah dalam kalangan jemaah bagi mengurangkan kadar pembaziran air yang amat tinggi di negeri itu.

Beliau berkata umat Islam perlu mencontohi penggunaan air sebagaimana di masjid di Mekah dan Madinah yang mengawal pengeluaran air paip untuk berwuduk untuk mengelakkan pembaziran.

“Pihak berkuasa masjid dan surau harus ambil perhatian perkara ini supaya penggunaan air bersih dapat digunakan secara bijaksana dan berhemah. Ini jemaah ambil wuduk, basah dari kepala hingga kaki seolah-olah hendak mandi,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen ‘Jom Jimat Air’ di Apartmen Julia, Selayang dekat sini, semalam.

Beliau berkata langkah itu perlu diambil berikutan Selangor mencatatkan penggunaan jumlah air terawat yang paling tinggi di Malaysia iaitu 235 liter seorang sehari berbanding 180 liter penggunaan seorang sehari di Singapura.

Kempen tersebut yang diadakan sehingga hujung tahun ini bertujuan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kerajaan negeri yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM162 juta setahun bagi membekalkan air percuma 20 meter padu kepada rakyat negeri tersebut.

Selain itu, Azmin juga mahu kawasan pembinaan bangunan baharu menyediakan tempat penampungan air hujan untuk aktiviti menyiram pokok bunga dan mencuci kereta.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan sebuah universiti awam, jika menggunakan air hujan ini, ia mampu menjimatkan bil air dari 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak industri di Selangor menggunakan teknologi kitar semula air untuk menjimatkan penggunaan air.

“Pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga diarahkan supaya memulihara sungai-sungai Selangor agar bekalan sumber air mentah mencukupi dan pada masa yang sama, rakyat Selangor harus memastikan kempen ini berjaya,” katanya.

Azmin berkata kerajaan negeri sebelum ini telah membelanjakan RM2 bilion bagi proses penstrukturan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dimuktamadkan pada September 2015.

Perjanjian yang termeterai pada tahun lepas itu menyaksikan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memuktamadkan pengambilalihan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Konsortium ABBAS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Azmin turut menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang untuk menghapuskan pemberian 20 liter padu air percuma dan menafikan dakwaan kononnya Selangor bakal berdepan dengan krisis air seperti yang menjadi viral baru-baru ini. — Bernama

Advertisement