Anda di sini

Penganjuran SUKMA diyakini mampu pertingkat mutu sukan

Advertisement

SIBU: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) diyakini mampu mempertingkat mutu sukan dan menggalakkan pertumbuhan bilangan penyertaan atlet-atlet remaja di peringkat negeri dan daerah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, Dato Sri Wong Soon Koh berkata ia juga harus seiring dengan mempertingkat prestasi kepegawaian seperti jurulatih, pegawai teknikal dan pentadbir sukan.

“Sehubungan ini, SUKMA adalah asas pemilihan atletatlet bagi mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan kita harap seterusnya mereka mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Kerajaan negeri berusaha membina kemudahan-kemudahan sukan baharu serta membaik pulih kemudahan sedia ada di peringkat negeri dan daerah sebagai persiapan penganjuran SUKMA Ke-18 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada upacara pelepasan peserta Larian Baton Promosi Sukan Malaysia XVIII Sarawak 2016 Peringkat Bahagian Sibu anjuran Sekretariat SUKMA Ke-18 Sarawak dan Pejabat Residen Sibu di Pintu Gerbang Sibu di sini semalam.

Larian itu disertai kira-kira 400 peserta terdiri agensi- agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah menengah dan sekolah rendah, atlet-atlet tempatan dan ramai lagi.

Hadir sama Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee dan Koordinator SUKMA XVIII 2015, Affendi Keli.

Menteri Kewangan Kedua itu juga berharap penganjuran SUKMA di beberapa kawasan di Sarawak menggalakkan aktiviti ekonomi, pelancongan, kebudayaan dan kemasyarakatan negeri ini.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan Hii berkata acara larian Baton merupakan identiti dan simbol kepada SUKMA XVIII yang bakal diadakan pada 23 hingga 31 Julan nanti.

Katanya, Sibu dipilih menjadi tuan rumah bagi dua acara sukan dipertandingkan pada SUKMA XVIII tahun ini iaitu badminton dan bola tampar.

Advertisement