Anda di sini

Bahang MIMMA mula dirasai

Advertisement

Ratusan penggiat MMA berhasrat menyertai kehangatan MIMMA Musim Ke-4

// Oleh Ghaz Ghazali //

 Petugas sibuk dengan tugas masing-masing ketika sesi pendaftaran di Plaza Merdeka Kuching semalam.

SAMBUTAN HANGAT: Petugas sibuk dengan tugas masing-masing ketika sesi pendaftaran di Plaza Merdeka Kuching semalam.

KUCHING: Bahang edisi ‘Malaysian Invasion Mixed Martial Arts’ (MIMMA) kali ini benar-benar dirasai di Plaza Merdeka di sini semalam dengan ratusan peserta menghadiri sesi pendaftaran yang bermula sejak jam 10.30 pagi.

Sesi perlawanan uji bakat diadakan di tempat yang sama hari ini (Ahad) bermula jam 10 pagi bagi memilih peserta layak bertarung ke peringkat suku akhir April nanti.

Kali ini, syarikat prabayar mudah-alih ‘Tune Talk’ membawa tema ‘api’ untuk MIMMA Musim ke-4.

Ia masih mengetengahkan lapan kategori kejuaraan bagi pertarungan akhir yang dijadualkan pada Oktober depan sempena Hari Sukan Negara 2016.

Kebanyakan yang hadir untuk pendaftaran semalam merupakan pengamal seni bela diri daripada pelbagai disiplin.

Salah seorang daripada mereka merupakan atlet muaythai remaja, Mohd Eswandy Hasan yang baharu sahaja memenangi kategori 70kg Kejohanan Muaythai Piala Yang di-Pertua Negeri (TYT) 2016 di Bintulu minggu lalu.

Menurut anak muda berumur 18 tahun itu, ini merupakan percubaan kali kedua beliau dalam kejohanan MIMMA.

“Sebenarnya, saya sudahpun terpilih untuk pusingan penentuan suku akhir tahun lalu tetapi penyertaan saya terpaksa dibatalkan kerana masih di bawah umur.

“Memang pengalaman agak mengecewakan tetapi secara positifnya, saya melihat pembatalan tersebut hanya disebabkan oleh faktor umur — bukan kerana saya tidak bertarung dengan baik. Kali ini, saya pasti berusaha dengan lebih gigih,” katanya.

Peninju amatur Mohd Nazrul Faiz yang juga ditemui semalam memberitahu bahawa perasaan beliau agak bercampur-baur.

“Saya sudahpun berlatih kira-kira enam minggu, jadi saya berasa agak teruja dengan MIMMA 4. Namun, apabila mengetahui ramai peserta sudah berlatih beberapa tahun agak kecut juga rasanya,” ujar beliau.

Bagaimanapun, bekas ahli bina badan berumur 32 tahun itu berkata beliau memegang kata-kata jurulatihnya bahawa lawan sama sahaja ‘terperangkap’ dalam arena hanya berdua, tiada orang lain.

Inilah pembakar semangat untuknya menyertai MIMMA kali ini.

Bagi anggota kru kabin AirAsia, Mohd Amir Merzuan beliau mengharapkan penyertaan kali ini akan membuahkan hasil selepas gagal untuk hadir uji bakat tahun lalu atas komitmen kerja.

Pemuda berusia 28 tahun berasal dari Kota Kinabalu itu sudah terlibat dalam sukan muaythai selama tiga tahun dan baharu sahaja menyertai ‘Brazilian Jiujitsu’ untuk memantapkan pergerakannya dalam arena MMA.

“Saya mahu menimba pengalaman dalam MMA dan pada masa sama ingin meningkatkan kesedaran kalangan rakan sekerja mengenai aktiviti ini.

“Umumnya, tugas dalam sektor penerbangan komersil membataskan masa untuk terlibat dalam banyak aktiviti sukan dan sekiranya ada kesempatan, maka sukan MMA merupakan ruang ideal untuk kami melepaskan tekanan,” ujar beliau.

Teman baik Amir, McKenzie Martin juga hadir untuk pendaftaran atas niat menguji kemahiran beliau dalam sukan muaythai yang diceburinya sejak dua tahun lalu.

“Sama seperti Amir, terlepas peluang untuk MIMMA tahun lalu tetapi atas faktor kecederaan namun kali ini saya benar-benar bersedia dan berharap akan terpilih untuk pusingan seterusnya,” kata beliau.

Sesi pemilihan di sini merupakan hentian keempat dalam kempen seluruh negara yang bermula di Pulau Pinang pada 28 Februari lalu dan bergerak ke Kota Kinabalu dan Johor Baharu selepas itu.

‘Tune Talk’ bersama rakan-rakan penaja Amnig, Venum dan Power Root akan singgah di Paradigm Mall, Kuala Lumpur minggu hadapan untuk kempen seterusnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai MIMMA Musim 4, layari www.malaysianinvasion.com.

Advertisement