Anda di sini

Isu Tour of Sarawak, Lee arah pegawai buat siasatan rapi

Advertisement

MIRI: Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin memberitahu beliau akan mengarahkan pegawai-pegawai dari kementeriannya untuk melakukan siasatan terperinci berhubung isu berkaitan dengan ‘kejohanan’ lumba basikal Tour of Sarawak yang dilihat telah mencemarkan imej bandar raya dan negeri ini.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Lee yang bersuara buat kali pertama berhubung isu tersebut mengakui beliau tidak tahumenahu mengenai perkembangan lanjut kejohanan itu kononnya dianjurkan di Miri (namun tidak berlaku) kerana tiada khabar mengenainya daripada pihak penganjur, malah beliau tidak pernah diberi sebarang taklimat atau dimaklumkan mengenainya.

“Oleh sebab itu saya akan mengarahkan pegawai-pegawai di peringkat kementerian untuk melakukan siasatan terperinci berhubung punca dan sebab yang terjadi seperti ini kerana kita tidak mahu perkara seumpama ini berulang lagi,” katanya.

beliau juga enggan mengulas lanjut perkara tersebut kerana sudah ramai pihak yang bersuara berhubung isu tersebut.

Sebaliknya, Lee berkata isu Tour of Sarawak memberi pengajaran dan selepas ini kementeriannya akan lebih berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan acara-acara sukan terutama yang melibatkan penyertaan di peringkat antarabangsa dan juga bandar raya Miri.

Bercakap mengenai isu sama, Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai mencabar pihak yang bertanggungjawab (penganjur) untuk tampil ke hadapan memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

“Mereka (penganjur) yang harus tampil, memberikan penjelasan berhubung isu Tour of Sarawak 2016 kerana mereka yang lebih tahu mengenainya dan alasan kenapa ia dibatalkan tanpa sebarang penjelasan kepada peserta yang terbabit.

“Mereka (penganjur) juga perlu memohon maaf kepada semua peserta dan pihak yang dibabitkan sama dalam isu ini kerana perkara ini bukan sahaja memalukan Miri dan Sarawak, malah ia telah mencemarkan imej Miri, di kala kita berusaha merancakkan lagi industri pelancongan di sini,” jelas Lai.

Beliau mengakui beliau amat kecewa dengan sikap penganjur berhubung perkara itu, yang turut memberi tempias kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) meskipun pihak majlis tidak terbabit secara langsung.

Apatah lagi, katanya, perkara tersebut bukan sahaja melibatkan peserta dalam negara tetapi juga antarabangsa dari 20 buah negara, antaranya Great Britain, Jepun, Korea, Australia, Hong Kong dan beberapa negara Eropah lain.

Siri jelajah ‘Tour of Sarawak 2016’ itu yang berstatus International Cycling Union (UCI) 2.

2, berjaya menghimpunkan lebih 60 pelumba basikal dan ia sepatutnya bermula di sini pada 16 Mac lalu dan berakhir di Kuching pada 20 Mac.

Namun pada saat-saat akhir, penganjur telah membatalkan acara tersebut sehingga menimbulkan kemarahan peserta, khususnya yang datang dari negara luar.

 

 

Advertisement