Anda di sini

Terima surat hak milik tanah percuma

Advertisement

Penduduk Kudei Baru, Bintangor Besar pertama mendapatnya percuma ekoran pemansuhan cukai tanah

// Oleh Rusnan Mustafa //

 Abang Johari (tengah) ditemani Naroden dan tetamu kehormat lain bersama-sama penerima surat hak milik tanah kampung tradisi melaungkan ‘Hidup Ketua Menteri’ selepas majlis itu semalam.

TERIMA KASIH: Abang Johari (tengah) ditemani Naroden dan tetamu kehormat lain bersama-sama penerima surat hak milik tanah kampung tradisi melaungkan ‘Hidup Ketua Menteri’ selepas majlis itu semalam.

KUCHING: Penduduk Kampung Kudei Baru dan Kampung Bintangor Besar menjadi golongan pertama yang mendapat surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) secara percuma ekoran pemansuhan cukai tanah yang berkuat kuasa kelmarin.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kesemua 302 individu dari dua kampung berkenaan menerima surat hak milik tanah percuma, malah tidak mempunyai tarikh tamat.

“Semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pemansuhan cukai tanah bagi pertanian dan kediaman.

“Dan hari ini, anda semua menjadi orang pertama yang mendapat surat hak milik tanah secara percuma di bawah Seksyen 18 yang mana tidak dikenakan premium, tiada cukai tanah, tiada kos pengukuran, tiada kos penyediaan surat dan tiada tarikh tamat iaitu pegangan selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi di bawah Seksyen 18 KTN bagi Kampung Kudei Baru dan Kampung Bintangor Besar di Hotel Grand Marghareta di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok menasihati penerima agar tidak menjual tanah yang diberikan itu.

“Ini adalah amanah yang telah diberikan kepada anda semua jadi jagalah dengan baik…jangan dijual,” tegasnya.

Malah, beliau memberitahu bahawa Ketua Menteri akan terus berusaha memperjuangkan hak rakyat Sarawak dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.

“Ada ‘benda’ (berita baik) lagi yang akan diumumnya (Adenan) kelak. Ada lagi yang akan meringkankan beban rakyat kita di Sarawak ini tetapi tunggu beliau sendiri umumkannya,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap rakyat di negeri ini terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan usaha yang telah dilakukan dan sedang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kita dalam kerajaan apabila kita berjanji kita tunaikan janji, jadi jangan terpedaya dengan hasutan pembangkang, maklumlah pilihan raya sudah dekat pelbagai pihak akan datang membawa berita-berita yang tidak benar,” ujarnya.

Terdahulu, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Kuching Ramzi Abdillah ketika berucap memberitahu, setakat Februari 2016, sebanyak 63,865 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN dengan keluasan 4,712.83 hektar bagi tujuan kediaman telah dikeluarkan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 26,567 surat hak milik tanah dengan keluasan 1,644.97 hektar adalah dalam bahagian Kuching,” jelasnya.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Wahap Abang Julai dan tetamu kehormat lain.

Advertisement