Anda di sini

Basikal: Kerajaan negeri minta lebih banyak sokongan korporat, swasta

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri meminta lebih banyak sokongan kewangan daripada agensi korporat dan swasta dalam membantu mendorong pembangunan pasukan berbasikal di negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setiap pasukan berbasikal memerlukan dana bagi menjalankan aktiviti dan sekiranya syarikat korporat atau swasta tampil membantu pasti akan memberi kelancaran kepada penganjuran aktiviti mereka.

“Pada masa sama, dari pasukan kelab-kelab tercungkil bakat-bakat berpotensi besar untuk merangkul pingat emas pada SUKMA XVIII akan datang,” katanya pada sidang media selepas majlis Pengenalan Pasukan Corbusier- Samudra Hotel-Polygon 2016 di sini semalam.

Corbusier memperkenalkan Ronnel Hualda, Andrew Drayton, Mohd Rauf Nor Misbah, Fito Prilanji, Supian Nor dan Laurel Lauridsen (ketua pasukan) bagi misi ‘Tour of Sarawak’ pada 16 Mac ini.

Pertandingan tersebut bakal bermula di Miri dan berakhir di sini.

Corbusier adalah satu daripada 22 pasukan lain dari Malaysia dan negara luar menyertai seperti Hong Kong, Indonesia, Australia dan banyak lagi.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan cuba membantu sedikit sebanyak kelab-kelab sukan yang berpotensi dengan harapan dapat mendorong kepada pembangunan sukan di Sarawak.

Setakat ini, Corbusier mempunyai 30 ahli dan tujuh daripadanya adalah bukan warganegara Malaysia berhasrat untuk menghantar peserta berpotensi dalam sukan berbasikal pada SUKMA XVIII di sini Julai depan.

Ketua Pasukan Corbusier, Safri Mohammed memberitahu bahawa pihaknya memang berusaha gigih mengilap bakat-bakat muda dengan bantuan jurulatih dalam usaha mencapai hasrat tersebut.

Pihaknya turut menghantar peserta simpanan bagi acara ‘Tour of Sarawak’ iaitu Mohd Afiq, Mohd Zahin, Charles Diking, Zaid Ismail, Yudi Rachmad, Iqbal Fernando dan Radian Saputra.

Sejak ditubuhkan Corbusier pada 2011 telah banyak merangkul kejuaraan di sembilan buah kejohanan seluruh negara.

Pasukan berbasikal Corbusier baru-baru ini memenangi jersi kuning yang menjadi idaman Corbusier pada kejohanan International UCI semasa ‘Tour Borneo 2013’ lalu.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Samudra Hotel, Rizal Datuk Wahab, wakil Polygon/ Rodalink Sarawak, Alex Kho.

Advertisement