Anda di sini

Ahli MBPP sepakat mahu Dr Lim memohon maaf

Advertisement

GEORGE TOWN: Dua belas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam sepakat mahu Dr Michael Lim Mah Hui memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya yang MBPP hanya menunda sebuah kereta dalam masa sebulan.

Ahli Majlis Harvinder Singh berkata kenyataan yang dibuat Dr Lim adalah tidak benar sama sekali kerana pada 2014 MBPP telah membeli lima buah lori tunda dan sejak itu jumlah kenderaan yang berjaya ditunda semakin meningkat.

“Tugas penguat kuasa bukan hanya untuk menunda kenderaan saja tapi juga perlu memastikan kelancaran trafik.

“Kita tidak mahu menyusahkan orang awam… kita akan bunyikan siren di kawasan ‘hot spot’ dan hanya akan ambil tindakan apabila tidak diendahkan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Lim dalam kenyataan yang disiar akhbar berbahasa Cina pada 1 Mac lepas dilaporkan berkata MBPP gagal menjalankan tugas dengan baik dan hanya menunda sebuah kereta dalam masa sebulan.

Harvinder berkata, pihaknya tidak pernah menetapkan sebarang kuota kepada penguat kuasa untuk menunda kenderaan.

“Jika kuota ditetapkan, kami bimbang penguat kuasa hanya akan fokus untuk menunda kenderaan dan tugas untuk memastikan kelancaran trafik akan dilupakan begitu saja apabila telah mencapai sasaran,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Ong Ah Teong berkata MBPP telah mengeluarkan statistik jumlah sebenar kenderaan yang ditunda pada tahun ini dan mengesahkan kebenarannya.

“Untuk Januari tahun ini saja, kami ada kes tunda sebanyak 474 dan macam mana dia (Lim) boleh berkata sebaliknya,” katanya.

Tegas Ong, sepatutnya Lim sebagai Ahli Majlis tahu mana satu saluran yang betul untuk bangkitkan isu tersebut.

“Beliau (Lim) patut menyuarakan isu ini kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu MBPP sendiri dan bukannya kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng jika mahu aduannya diambil tindakan dengan segera,” katanya. — Bernama

Advertisement