Anda di sini

Agensi terlibat diminta maklum paras air terkini di empangan

Advertisement

TANGKAK: Semua agensi terlibat diminta untuk memaklumkan situasi terkini berhubung paras air di kesemua empangan di seluruh negara susulan cuaca panas yang sedang melanda Malaysia ketika ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu diambil bagi mengenal pasti sama ada cuaca panas memberi impak kepada paras air empangan.

Beliau berkata keadaan cuaca panas yang dirasai di beberapa tempat masa kini dilihat agak membimbangkan berikutan tiada jangkaan awal dapat dibuat mengenainya.

“Kita tidak sepatutnya mengalami masalah kekurangan air kerana negara berada di kawasan tropika yang mana ia mempunyai banyak taburan hujan.

“Bagaimanapun, kita akan arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan lain-lain agensi supaya memberi taklimat terkini agar kerajaan dapat menentukan sama ada pencatuan air perlu dilakukan ataupun sebaliknya,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Muar Pintasan Belemang di Kampung Belemang, di sini, semalam.

Selain itu, Wan Junaidi berkata cuaca panas yang melanda negara ketika ini bukanlah satu perkara yang baharu, malah pernah berlaku pada tahun 1997.

“Cuma perbezaannya pada (suhu) darjah Celcius dan setakat ini, berdasarkan laporan JPS, dua negeri yang mencatat cuaca panas tertinggi ialah di Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis, masing-masing pada kadar 38.5 dan 38.2 darjah Celcius manakala Johor Baharu pula adalah 36.5 darjah Celcius,” katanya.

Sehubungan dengan itu, kesemua pihak terlibat termasuk kementeriannya juga akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi membincangkan lebih lanjut isu berkenaan.

Menerusi mesyuarat itu, kementerian berharap dapat merangka satu tindakan yang boleh memberi amaran awal kepada orang ramai jika cuaca sebegitu berlanjutan.

Setakat ini, negara tidak mempunyai satu mekanisme khusus bagi menangani isu berkenaan, kata Wan Junaidi.

Baru-baru ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengeluarkan satu kenyataan mengenai ‘Equinok’ yang menyebabkan cuaca panas terik diramalkan berlaku pada 20 Mac ini.

Selain itu, MOSTI juga berkata keadaan cuaca panas yang dirasai di beberapa tempat kini disebabkan keadaan cuaca kering, tiada hujan yang turun dalam tempoh yang panjang dan kesan fenomena El Nino yang kuat.

Terdahulu, Wan Junaidi mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta untuk projek RTB Muar yang sebelum ini menelan kos keseluruhan kira-kira RM262 juta.

“Kita berharap apabila selesai, projek ini boleh mengatasi masalah banjir yang melanda daerah ini serta menyelamatkan ribuan masyarakat daripada menjadi mangsa bencana itu serta bangunan-bangunan kerajaan dan sekolah,” katanya. — Bernama

Advertisement