Anda di sini

Inisiatif pengurangan cukai diharap bantu rakyat urus kewangan: Najib

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif kerajaan berkaitan pengurangan cukai bagi tahun taksiran 2015 diharap dapat membantu rakyat dalam menguruskan kewangan dan menangani kesan kenaikan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ramai akan mula memfailkan penyata cukai sama ada di pejabat-pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara atau secara dalam talian.

“Langkah ini adalah perlu bagi memastikan semua individu yang berkenaan telah membayar cukai yang bertepatan serta menerima pulangan cukai di mana berhak selain mengelakkan berlakunya ketirisan,” katanya dalam catatan dalam laman blog NajibRazak.com.

Beliau berkata dalam Bajet 2015, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif termasuk kadar cukai pendapatan individu dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan dan menerusi langkah itu, sebanyak 300,000 orang tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

Katanya golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai selain kadar cukai maksimum 26 peratus pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25 peratus.

Selain itu, Najib berkata dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pula, kerajaan telah mengumumkan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah untuk tahun taksiran 2015, sebagai langkah tambahan membantu rakyat.

Melalui langkah ini, katanya, kerajaan akan mengalami kerugian sebanyak RM350 juta tetapi pada masa sama dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga RM475 serta memanfaatkan sebanyak dua juta pembayar cukai. — Bernama

Advertisement