Anda di sini

MSNS janji bantu Watson

Advertisement

Bagi selesaikan masalah hutang dihadapi bekas pelari pecut negara itu

// Oleh Harry Ilias //

WATSON

WATSON

KUCHING: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) berjanji akan membantu bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek menyelesaikan masalah hutang yang dihadapinya.

Pengarah MSNS, Dr Ong Kong Swee berkata pihaknya sedang mempertimbang beberapa inisiatif bagi membantu jurulatih olahraga sepenuh masa MSNS itu.

Menurut Dr Ong, antaranya dengan menaikkan jawatan Watson agar beliau dapat menikmati gaji yang lebih baik berbanding sekarang.

“Bekas atlet bertaraf dunia seperti Watson sudah tentu mempunyai laluan kerjaya yang luas dalam bidang kejurulatihan. Namun, beliau juga perlu meningkatkan tahap kejurulatihan bagi membolehkannya memegang jawatan lebih tinggi,” katanya di sini semalam.

Selain itu, Dr Ong berkata MSNS juga akan berusaha mencari penaja untuk menjadikan Watson duta kepada produk ataupun aktiviti anjuran mereka.

Jelasnya, inisiatif ini akan membantu menambahkan pendapatan pemegang rekod acara pecut 100 meter negara itu.

“Contohnya kita telah melantik beliau sebagai duta larian Sarawak Marathon Kuching 2016 edisi ketiga akan datang. Watson telah banyak berjasa kepada negara.  Beliau merupakan ikon Sarawak dan kita wajar membantunya dengan apa juga cara,” tambahnya.

Watson, 40, atau dikenali ‘Flying Dayak’ diisytiharkan muflis selepas gagal membayar hutang berjumlah RM80,000 dipinjamnya daripada bank untuk membayar kos perubatan mendiang ayahnya.

Sementara itu, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin turut melahirkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa Watson.

Sehubungan itu, beliau meminta Dr Ong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial, Kameri Affandi memikirkan jalan penyelesaian membantu mengurangkan beban Watson.

Advertisement