Anda di sini

Sabah sumbang RM678,000 kepada mangsa gempa bumi

Advertisement

 Dr Salleh Said Keruak (depan dua, kiri) menyampaikan bantuan kepada 226 pemilik rumah pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihsan Jawatankuasa Tabung Bencana Rumah Akibat Gempa Bumi 2015 Daerah Kota Belud semalam. — Gambar Bernama

BANTUAN: Dr Salleh Said Keruak (depan dua, kiri) menyampaikan bantuan kepada 226 pemilik rumah pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihsan Jawatankuasa Tabung Bencana Rumah Akibat Gempa Bumi 2015 Daerah Kota Belud semalam. — Gambar Bernama

KOTA BELUD: Kerajaan negeri semalam menyumbangkan sebanyak RM678,000 kepada 226 pemilik rumah di daerah ini, yang terjejas serta mengalami kerosakan akibat gempa bumi yang melanda Ranau pada Jun tahun lepas.

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh anggota Dewan Undangan Negeri Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Turut hadir Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Belud.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Abdul Gari berkata bantuan itu merupakan sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringankan beban mangsa yang terlibat semasa gempa bumi berkenaan.

“Bantuan RM3,000 kepada setiap penerima itu memperlihatkan komitmen dan usaha kerajaan untuk membantu mangsa…kerajaan sentiasa berinisiatif bagi menjamin keselesaan serta kesejahteraan rakyat yang dilanda apa-apa musibah,” katanya.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Ranau pada 5 Jun tahun lepas itu turut menyebabkan kerosakan rumah di beberapa buah kampung di kawasan Kota Belud.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Abdul Gari berkata sumbangan yang diberikan oleh kerajaan itu bukanlah satu ganti rugi atau pampasan atas kerosakan yang ditanggung mangsa, namun ia sekadar untuk membantu mengurangkan beban mangsa akibat bencana tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya kini sedang mencari dana untuk membina semula 11 buah rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi itu.

“Kita telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan pihak yang berkaitan dan ada beberpa perkara yang perlu dilakukan sebelum membina semula rumah berkenaan termasuk tapak baharu yang lebih selamat.

“Kita berharap rumah berkenaan dapat dibina secepat mungkin kerana keluarga yang terjejas itu kini tinggal di rumah saudara-mara,” katanya. — Bernama

 

Advertisement