Anda di sini

Wan Syazlin kekal pelajar sehingga tamat siasatan polis: POLISAS

Advertisement

PEKAN: Status Wan Syazlin Wan Zainuddin sebagai pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Kuantan kekal sehingga polis menamatkan siasatan kehilangannya.

Pengarah Polisas Norlida Abd Razak berkata status Wan Syazlin, 19, yang merupakan pelajar semester dua diploma perakaunan masih kekal walaupun gagal menghadiri kelas yang bermula sejak 15 Feb lalu.

“Kita tidak gantung status Wan Syazlin kerana masih tidak tahu kesudahannya. Apabila kita tahu apa sebenarnya terjadi, baharu kita akan tengok semula keadaan ini.

“Kita juga selalu bertanya kepada keluarga dan polis tentang perkembangan kes kehilangan pelajar ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Penutup Program Khidmat Masyarakat Polisas di pusat jagaan kucing D’Kucing Valley Hajah Maimudah di Felda Chini 4 di sini, semalam.

Wan Syazlin dilaporkan hilang sejak 5 Feb lalu dan kali terakhir dilihat berada di perhentian bas berhampiran Polisas.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu sepatutnya pulang ke rumah di Kampung Telaga Mas, Paka, Terengganu pada 7 Feb lalu selepas dibenarkan bercuti selama 10 hari bermula 4 Feb sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Mengulas mengenai projek CSR itu, Norlida berkata projek berkenaan dijalankan pada 23 dan 24 Feb lalu melibatkan 150 kakitangan dan pelajar di bawah kelolaan Jabatan Kejuruteraan Awam Polisas dengan matlamat menceriakan pusat jagaan kucing berkenaan.

“Aktiviti yang dilakukan ialah kerja keceriaan meliputi landskap sekitar, lukisan mural, membina dan memasang rumah kucing serta melakukan kemasan jubin dan bangku bata di sekitar pusat jagaan,” katanya.

Norlida menambah program CSR itu juga memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kelas selain memberi manfaat kepada komuniti setempat dan memupuk rasa tanggungjawab serta kerjasama. — Bernama

 

Advertisement