Anda di sini

Guru agama dipenjara 20 tahun

Advertisement

Terlepas daripada hukuman gantung kerana sebabkan kematian pelajar

PUTRAJAYA: Seorang guru agama terlepas daripada hukuman  gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini semalam mengurangkan pertuduhan terhadapnya daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat, seorang pelajar berumur tujuh tahun, lima tahun lepas.

Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan bahawa terdapat merit dalam rayuan Hanif Mohamad Ali dan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman mati kerana membunuh.

Hanif, 32, bagaimanapun, perlu menjalani hukuman penjara 20 tahun apabila mahkamah mendapati dia bersalah menyebabkan kematian Saiful Syazani Saiful Sopfidee atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Hakim Ahmadi memerintahkan dia menjalani hukuman mulai tarikh tangkapan pada 31 Mac 2011.

Di kandang tertuduh, Hanif, yang memakai pakaian penjara putih-merah, dilihat menghela nafas lega sebaik sahaja mendengar keputusan mahkamah.

Dalam keputusannya, Hakim Ahmadi berkata tiada keterangan yang menunjukkan bahawa Hanif mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan kepada si mati dengan mencekik lehernya.

Beliau berkata pendakwaan hanya berjaya dalam membuktikan kes itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (menyebabkan kematian tanpa niat) dan mahkamah meminda pertuduhan terhadap Hanif mengikut seksyen itu.

Bersidang bersama beliau ialah Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Idrus Harun dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Hanif, yang juga warden asrama di sebuah sekolah rendah agama, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat warden Asrama Putra, Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Arau, Perlis antara jam 6 petang dan tengah malam 31 Mac 2011.

Mahkamah Tinggi pada mulanya meminda pertuduhan terhadapnya daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat di akhir kes pendakwaan.

Hanif kemudiannya mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu dan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun.

Pihak pendakwaan kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membela diri atas pertuduhan membunuh. Di akhir kes pembelaan, Hanif didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi.

Keterangan menunjukkan bahawa pelajar itu berdiri dengan tangannya diikat ke atas pada batang besi dan dia dipukul di kepala serta ditampar kerana didakwa mencuri wang.

Terdahulu, peguam Ariff Azami Hussein, yang mewakili Hanif, berhujah bahawa terdapat kekurangan bukti untuk menunjukkan anak guamnya berniat untukmenyebabkan kecederaan kepada si mati.

Beliau berkata jika Hanif mempunyai niat untuk mencekik pelajar lelaki itu, kematiannya akan berlaku dengan segera, tetapi pelajar lelaki terbabit meninggal dunia tiga hari kemudian.

Ketika merayu hukuman lebih ringan, Ariff berkata anak guamnya terlibat dalam projek perintis bagi program tahfiz di Penjara Tapah yang menunjukkan bahawa dia masih boleh menyumbang kepada masyarakat.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata cara kanak-kanak itu dikendalikan bukanlah satu bentuk hukuman, sebaliknya merupakan penderaan.

Peguam lain yang turut mewakili Hanif ialah Azizul Shariman Mat Yusof dan Muhamad Hafiz Leman. — Bernama

Advertisement