Anda di sini

Bomba pasti beberapa kes kebakaran lalang, hutan belukar sengaja dilakukan

Advertisement

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri mengenal pasti bahawa beberapa kes kebakaran lalang dan hutan belukar adalah sengaja dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Zon 6, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB1) Law Poh Kiong berkata setakat ini pihaknya mengesan lima kes melibatkan kebakaran lalang yang disengajakan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Kita mengenal pasti perbuatan khianat pembakaran lalang secara terbuka di tepi-tepi jalan iaitu dua kes di Waterpart Senadin, satu lagi kes masing-masing dikesan di Kuala Baram, Vista Perdana dan Curtin,” katanya di sini semalam.

Beliau mengakui kebanyakan kes kebakaran lalang sekarang adalah sengaja dibakar oleh individu tidak bertanggungjawab termasuk pekebun kecil, pemburu atau pemancing.

“Bagi kawasan tanah gambut yang tidak mempunyai sebarang akses atau laluan tidak berlaku apa-apa kejadian kebakaran lalang sebaliknya berlaku di kawasan penempatan atau tepi-tepi jalan,” jelasnya.

Menurut Law, sikap tidak bertimbang rasa individu membakar lalang bukan sahaja menyusahkan agensi kerajaan dan orang awam dalam operasi pemadaman juga menyebabkan kesihatan penduduk terjejas.

“Saya menasihatkan agar orang ramai yang melihat atau ternampak punca api segera menghubungi bomba atau melaporkan kepada agensi kerajaan berkaitan jika ternampak individu membakar lalang,” katanya.

Law turut meminta kerjasama orang awam bersama-sama bomba memadam kebakaran lalang jika kebakaran itu adalah kecil dan mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka tanpa pengawasan.

“Kita menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kebakaran mengurangkan aktiviti luar dan minum air banyak ekoran musim panas dan kering ketika ini serta berjerebu,” katanya.

Pihak juga berjaya mengawal kebakaran hutan belukar di Kuala Baram sejak beberapa hari lalu termasuk menggunakan kaedah ‘water bombing’.

Begitupun, kebakaran lalang berlaku ketika ini adalah disengajakan dan tindakan individu mementingkan diri sendiri itu turut menyusahkan semua pihak terutama penduduk tinggal berhampiran.

 

Advertisement