Anda di sini

Boleh berniaga sebelum projek pelancongan dibangun: Lawrence

Advertisement

Oleh Steve Annuar//

 Lawrence menunjukkan borang senarai nama peniaga PBMS dan DUBS untuk permohonan lesen perniagaan sementara yang diserahkan kepada beliau kelmarin.

SENARAI: Lawrence menunjukkan borang senarai nama peniaga PBMS dan DUBS untuk permohonan lesen perniagaan sementara yang diserahkan kepada beliau kelmarin.

MIRI: Seramai 30 peniaga lesen sementara di Wireless Walk dibenarkan berniaga dalam tempoh sebelum projek pelancongan bernilai RM5 juta di Jalan North Yu Seng di bawah Kementerian Pelancongan dilaksanakan sepenuhnya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata mereka harus memberi laluan untuk pembangunan projek itu setelah permohonan geran menaik taraf North Yu Seng sebagai Koridor Pelancongan diluluskan pada penghujung tahun lalu.

“Di bawah geran ini sejumlah RM500,000 untuk perasmian projek ini pada tahun ini.

“Sekarang, masih terlalu awal untuk saya beritahu bagaimana projek ini dibangunkan. Ini kerana kami belum melantik mana-mana pihak dan projek ini belum dimulakan,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MBM di sini, kelmarin.

Lawrence memberitahu, projek diserahkan kepada Residen Miri sementara MBM membantu daripada aspek teknikal, kejuruteraan termasuk melantik konsultan dan kontraktor.

“Nama rasmi untuk projek ini belum lagi disahkan. Saya cuma dapat katakan ia adalah projek menaik taraf Jalan North Yu Seng yang sekarang MBM kenali sebagai Koridor Pelancongan,” jelas beliau.

MBM sedang mengkaji senarai 62 nama peniaga iaitu 47 daripada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan 15 daripada Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) untuk diberi lesen perniagaan sementara di Wireless Walk.

Dialog antara MBM, DUBS dan PBMS diadakan pada 26 Februari lalu membincangkan cara terbaik menyelesaikan isu-isu berbangkit disuarakan pelbagai pihak setelah ramai peniaga kecil tanpa lesen membuka gerai di Wireless Walk.

Sehingga kini, MBM hanya mengeluarkan tiga lesen untuk gerai berkanopi di koridor itu yang diluluskan hampir 10 tahun.

“Kami mengehadkan seramai 30 peniaga sahaja. Saya minta kerjasama penduduk tidak lagi membuka gerai di kawasan ini.

“Yang penting kami mahu kawasan ini dikendalikan dengan baik. Dengan syarat adalah sementara sahaja, mereka harus memberi laluan apabila projek pelancongan dilaksanakan,” jelasnya.

Beliau berkata setiap peniaga diberi saiz lot sama serta kanopi yang sesuai untuk menjadikan kawasan perniagaan mereka lebih teratur dan kemas.

“Kerana ini adalah tempat pelancongan, kita tidak mahu ia kelihatan seperti kawasan setinggan,” ujarnya sambil meminta peniaga menitiberatkan aspek kebersihan dan keselamatan.

Lawrence berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg kerana meluluskan geran projek membangunkan laluan North Yu Seng sebagai pusat kunjungan pelancong utama di sini.

MBM menubuhkan ‘Task Force’ memantau pelaksanaan projek itu yang diketuai oleh Jawatankuasa Tetap Pasar, Penjaja dan Tamu (MTH).

 

Advertisement