Anda di sini

PERKIM Samarahan turun padang membantu mangsa banjir

Advertisement

// Oleh Wan Ali Amit //

 Beberapa buah rumah penduduk kampung terjejas teruk dilanda banjir.

TERJEJAS TERUK: Beberapa buah rumah penduduk kampung terjejas teruk dilanda banjir.

PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Samarahan ternyata bersimpati dan ‘turun padang’ bagi membantu keluarga-keluarga mangsa banjir di sekitar Bahagian Samarahan dan Serian.

Ahli Parlimen Kota Samarahan merangkap timbalan pengerusi PERKIM Bahagian Samarahan, Rubiah Wang mengetuai rombongannya mengadakan lawatan ke beberapa buah kampung dan kawasan dilanda banjir baru-baru ini.

Hadir sama menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Samarahan ialah Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Sebli, Pegawai Daerah Samarahan Mohd Ainnie Abdul Wahab dan Temenggung Chek Bujang.

Antara kampung-kampung terjejas teruk dilanda banjir ialah Kampung Endap,

Tanah Putih, Segenan, Turung, Soh serta kampung-kampung di daerah Serian iaitu Kampung Bedega, Betong dan Kanowit Betong.

Bantuan berupa selimut, tuala, pampers, ‘crackers’ dan beras adalah sumbangan daripada Giant Hypermarket Tabuan Jaya serta beberapa pertubuhan dan individu bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Samarahan.

Sumbangan diserahkan oleh Rubiah kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Bantuan itu disalurkan kepada tiga pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, Dewan Kampung Kanowit Betong dan SK Endap dengan keseluruhan melibatkan sejumlah 310 buah keluarga.

Manakala sejumlah 105 buah keluarga menerima bantuan diserahkan ke pusat pemindahan SK Tanah Merah adalah dari Kampung Segenan, Kampung Turung, Kampung Soh dan Kampung Bedega, Betong (lima keluarga).

Menurut Rubiah, bantuan itu adalah bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan terbabit.

“Kita amat simpati dan prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir kerana mereka terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing buat seketika apabila dilanda musibah banjir,” katanya.

 Rubiah menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di SK Endap.

PRIHATIN: Rubiah menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di SK Endap.

Advertisement