Anda di sini

Isu keselamatan, kesihatan pekerja sektor pembinaan dipandang serius

Advertisement

KUCHING: Isu keselamatan dan kesihatan pekerja yang bekerja di sektor pembinaan dipandang serius oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia.

Menurut Pengarah JKKP Sarawak Mohd Hatta Zakaria, keselamatan dan kesihatan pekerja di sektor pembinaan yang juga dikategorikan sektor bahaya, kotor dan sukar adalah tanggungjawab semua pihak termasuk majikan, kerajaan dan pekerja.

Selain usaha JKKP dalam menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP/OSHA) 1994, majikan juga perlu mengambil serius dalam memastikan tempat kerja dan suasana kerja yang selamat.

“Seperti yang termaktub dalam Seksyen 15 AKKP, adalah menjadi kewajipan semua majikan dan setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai penguatkuasaan dan operasi di sektor pembinaan yang dijalankan minggu lepas, Operasi Tapak Bina Bilangan 01/2016 dijalankan serentak di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.

Ia merupakan salah satu usaha JKKP dalam memastikan majikan dan pekerja di sektor pembinaan patuh kepada perundangan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

Selain notis penambahbaikan dan notis larangan, majikan atau pekerja boleh dikenakan kompaun dan pendakwaan jika didapati bersalah mengabaikan keselamatan pekerja semasa bekerja, ujarnya.

“Statistik JKKP menunjukkan kemalangan maut di sektor pembinaan terus meningkat di Sarawak.

Pada 2014, 10 pekerja maut manakala pada 2015, 11 pekerja maut semasa bekerja di tapak pembinaan di Sarawak.

“Antara tindakan proaktif jabatan bagi mencegah kemalangan di tempat kerja ialah sebanyak 2,840 tempat kerja merangkumi 266 tapak pembinaan telah diaudit sepanjang 2015.

“Hasil audit sepanjang tahun lepas, 1,564 notis dan 25 kompaun dikeluarkan manakala 23 syarikat dihadapkan ke makhamah atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hatta mengingatkan semua pihak agar memainkan peranan masing-masing dalam perkara tersebut.

Walaupun dikategorikan sebagai sektor berisiko tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan, bahaya sektor pembinaan boleh dikawal dan ditangani.

Ia memerlukan komitmen dan usaha semua pihak yang terlibat.

Banyak aktiviti kerja berisiko tinggi dijalankan di tapak pembinaan seperti kerja-kerja mengangkat, kerja konkrit, bekerja di tempat tinggi, kerja pengorekan dan sebagainya.

Jika kerja-kerja seumpama itu dijalankan mengikut prosedur kerja selamat yang betul, ia dapat dilaksanakan mengikut masa dan perancangan tanpa menjejaskan keselamatan pekerja.

Advertisement