Anda di sini

Suspek curi tayar kereta ganti viral berjaya ditangkap

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan suspek curi tayar ganti kereta selepas video rakaman yang menunjukkan kegiatan jenayah lelaki terbabit menjadi viral.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, video berdurasi selama 59 saat itu dirakam di kawasan parkir salah sebuah pusat beli-belah di sini.

Katanya, tindakan suspek yang mencuri tayar ganti terbabit dirakam oleh orang awam sebelum diviralkan di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. “Ekoran dari kejadian itu, polis mengambil tindakan segera mengesan suspek serta kenderaan yang digunakannya ketika kejadian curi tayar simpanan itu.

“Polis berjaya menahan suspek pada 19 Februari lepas, kira-kira jam 12.20 malam di kaki lima Blok L Taman Sri Rugading Tuaran.

“Dua orang lelaki tempatan berumur 23 dan 36 tahun dipercayai terlibat dengan kes berkenaan ditahan bersama sebuah kereta Proton Iswara Aeroback berwarna perak yang dimiliki suspek,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, pada 1 Januari lepas, pihaknya ada menerima laporan mengenai kehilangan tayar ganti kereta di kawasan parkir berkenaan.

Menurutnya, laporan berkenaan menjelaskan pengadu meletakkan kenderaan di kawasan parkir itu pada jam 9 pagi 31 Disember 2015.

Bagaimanapun jelasnya, pengadu mendapati tayar ganti kereta itu hilang kira-kira jam 7 malam dan dipercayai dicuri oleh suspek.

Hasil siasatan jelasnya, kedua-dua suspek termasuk yang dirakam mencuri tayar ganti terbabit memiliki rekod jenayah.

“Suspek juga dipercayai terlibat dalam empat kejadian kes curi tayar ganti kereta di sekitar kawasan Manggatal dan Inanam melibatkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM1,400.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun, dan boleh juga dikenakan denda.

Dalam pada itu, pihaknya turut menasihatkan agar orang ramai dinasihatkan supaya mengunci tayar gantian kereta untuk mengelakkan daripada mudah dicuri oleh penjenayah.

Orang ramai juga disaran agar memaklumkan segera kepada polis sekiranya ternampak mana-mana individu atau kenderaan yang mencurigakan berlegar-legar di kawasan parkir.

 

 

Advertisement