Anda di sini

Pelantikan Fazillah perkuat cabaran skuad hoki wanita SUKMA Sarawak

Advertisement

KUCHING: Bekas pemain hoki wanita kebangsaan, Fazillah Slyvester Silin menguatkan cabaran Sarawak untuk menghadapi SUKMA XVIII selepas dilantik sebagai penolong jurulatih.

Bekas pemain profesional yang pernah bermain di Barcelona, Sepanyol itu dilantik oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan menjadi calon terbaik untuk membantu Ketua Jurulatih, C Sivasubramaniam.

Sarawak yang gagal mencapai peringkat separuh akhir dalam beberapa temasya SUKMA sebelum ini berharap pelantikan Fazillah akan membantu mereka mencapai sasaran separuh akhir pada temasya yang akan diadakan pada Julai 2016.

“Terima kasih kepada MSNS kerana memberi saya peluang sebagai jurulatih untuk membantu Ketua Jurulatih Siva (C.

Sivasubramaniam).

“Saya tidak pernah terlintas untuk menjadi jurulatih namun akan menggunakan pengalaman bermain di Sepanyol dalam latihan nanti.

“Semasa di Sepanyol, saya mendapat pelbagai tips berguna seperti teknik dan konsep permainan terkini dan idea baharu ini akan saya serap dalam skuad Sarawak,” katanya.

Fazillah turut akui bakal berdepan kesukaran kerana ia kali pertama beliau menjadi jurulatih namun percaya dapat belajar dari Siva yang dianggapnya sebagai mentor yang dihormati.

Bekas pelajar dari Daerah Dalat itu berkata sudah tiba masanya beliau menyumbang semula apa yang dipelajarinya semasa mewakili Sarawak pada SUKMA dan Sukan SEA di Singapura sebelum ini.

Fazillah yang menamatkan khidmatnya bersama skuad kebangsaan selepas lapan tahun berkata pelantikan beliau menjadi bukti kesungguhan MSNS untuk membangunkan sukan hoki dan memperolehi keputusan baik pada SUKMA Ke-18.

Sebagai satu-satunya jurulatih hoki wanita di Malaysia, Fazillah berasa amat berbangga namun berjanji akan menimba seberapa ilmu dari Sivasubramaniam.

 

Advertisement