Anda di sini

50 pelajar SMK Belaga bawah 18 sertai klinik bola sepak

Advertisement

BELAGA: Seramai 50 pelajar berumur bawah 18 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga menyertai klinik bola sepak selama dua hari di Padang SMK Belaga baru-baru ini.

Program itu dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman iaitu Mohd Farhan Abdullah@ Anai Igang dengan kerjasama sekolah tersebut.

Mohd Farhan berkata, klinik bola sepak itu sebagai tanda keikhlasannya untuk membantu meningkatkan mutu permainan anak-anak di Daerah Belaga.

“Saya berharap melaluinya akan dapat menyalur pengalaman dan pengetahuan kepada pemain-pemain di luar bandar yang dilihat mempunyai bakat terpendam dan berpotensi menyerlah dalam sukan bola sepak,” ujarnya semalam.

Katanya, beliau cuba memberi pendedahan tentang corak permainan bola sepak sekarang kepada para peserta.

“Saya berharap dengan latihan singkat melalui klinik itu, sekurang-kurangnya para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang saya sampai dan memberi pendedahan kepada mereka,” tambahnya.

Beliau berkata, sekiranya pada suatu hari nanti, peserta terbabit terpilih menyarung jersi pasukan negeri diharap mereka dapat mengetahui kehendak dan keadaan bola sepak masa kini.

Mohd Farhan mengucapkan terima kasih kepada Pengetua SMK Belaga, Phua Ah Siew, Penolong Kanan Kokurikulum, Bujang Bukoh dan Penolong Kanan Pentadbiran, Seburat Among serta kakitangan kejurulatihan SMK Belaga yang diketuai oleh Cikgu Balan atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan klinik bola sepak tersebut.

 

Advertisement