Anda di sini

Rakyat Sarawak dipelawa sertai pertandingan gendang, bermukun

Advertisement

KUCHING: Pencarian ‘Raja Gendang Melayu dan Bermukun’ peringkat Sarawak bakal bermula pada 15 hingga 20 Mac nanti di sembilan bahagian di negeri ini, menawarkan wang tunai sebanyak RM8,000 kepada pemenang utama.

Menurut Timbalan Pengerusi Sanggar Seni Satok Hasbi Husaini, pertandingan gendang Melayu dan bermukun itu sempena ‘Tour of Sarawak’ akan diadakan di Miri, Bintulu, Sibu, Sarikei, Betong, Sri Aman, Serian, Sematan dan Kuching.

“Pertandingan ini terbuka kepada kumpulan gendang Melayu dan bermukun bermastautin di negeri ini

“Ia menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM8,000 kepada pemenang utama,” katanya pada sidang media di Pusat Kesenian Sanggar Seni Satok, Kampung No.5 di sini semalam.

Pada masa sama Hasbi memberitahu setiap penyertaan dalam pertandingan di peringkat bahagian dihadkan kepada 20 kumpulan sahaja.

“Untuk peringkat bahagian hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 akan diberi kepada johan, RM800 naib johan dan RM500 pemenang tempat ketiga berserta piala iringan dan sijil turut diberikan,” katanya.

Tambahnya, setiap penyertaan kumpulan akan dikenakan yuran sebanyak RM50, jumlah ahli tidak kurang dari empat orang dan tidak melebihi enam orang.

Mengulas lanjut mengenai pertandingan itu, beliau menjelaskan bagi peringkat bahagian Miri akan diadakan pada 15 Mac, Bintulu (16 Mac), Sibu (17 Mac) Sarikei dan Betong pada 18 Mac, Sri Aman, Serian, Sematan dan Kuching pada 19 Mac nanti.

“Manakala malam kemuncak iaitu juara setiap bahagian akan berentap merebut gelaran ‘Raja Bergendang dan Bermukun’ akan diadakan pada 20 Mac di Kuching,” jelasnya.

Katanya lagi, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Pejabat Pembangunan Kebudayaan Sosial Miri (085-419624), Pejabat Pembangunan Sosial (PPS) Bintulu (086-253029), Dicky Zulkarnain di Sibu (016-7778656), Wong Neng Lee di Sarikei (019-8487859), PPS Betong (083-472131), PPS Sri Aman (083-320116), Mohd Haffiz Redza di Serian (016-8878927), Pejabat Daerah Kecil Sematan (011-25367210) dan Sanggar Seni Satok (019-4846357).

“Untuk maklumat lanjut dan syarat pertandingan orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat yang telah kita nyatakan,” ujarnya.

Hadir sama Pengurus Projek Tour Of Sarawak Mohd Fadzli Mat Yusof dan Setiausaha Sanggar Seni Satok Norhissham Mat Esa.

Advertisement