Anda di sini

Penduduk kampung Kuala Nyalau rayu jalan diturap

Advertisement

BINTULU: Penduduk di perkampungan Kuala Nyalau di sini merayu agar pembinaan jalan berturap di kawasan berkenaan dapat dilaksanakan segera.

Menurut Penyelaras Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju Zharudin Narudin, jalan utama memasuki ke perkampungan Kuala Nyalau itu tidak pernah berubah sejak 15 tahun lalu.

“Keadaan jalan yang tidak berturap menyukarkan masyarakat setempat untuk bergerak ke mana-mana destinasi memandangkan kegiatan utama masyarakat adalah bertani, nelayan serta menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan.

“Malah, kita juga dapat melihat beberapa batang jalan utama di luar kawasan ini juga banyak yang telah rosak akibat lori dan pengangkutan berat yang melaluinya ekoran ia berdekatan dengan kawasan pembinaan kilang perindustrian,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Zharudin berkata, apa yang lebih menyedihkan, kawasan perkampungan di situ tidak mempunyai jaringan telekomunikasi menyebabkan penduduk sukar untuk berhubung antara satu sama lain.

Malah, ada di antara penduduk melahirkan kebimbangan kerana tidak ada talian telefon sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Boleh sahaja pihak berkuasa tempatan (PBT) atau syarikat-syarikat terlibat dalam industri di Samalaju khasnya membantu untuk membina jalan berturap yang hanya melibatkan kira-kira 10 kilometer ini,” katanya.

Jelasnya lagi, rakyat sudah putus harapan kerana wakil rakyat sedia ada tidak menunjukkan usaha untuk menurap jalan yang dimaksudkan walaupun sokongan padu telah diberikan kepada mereka.

Zharudin akan membawa perkara tersebut sehingga ia boleh diselesai dan menyifatkan kesejahteraan tempat tinggal rakyat sebagai keutamaan dalam agenda membangun kawasan itu.

“Malah dengan lokasinya yang berada tidak jauh dari laluan fasa pertama Pan Borneo dan kawasan industri utama iaitu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), tidak sepatutnya Kuala Nyalau menjadi sebuah kawasan terpinggir dan terbiar,” katanya.

Advertisement