Anda di sini

Masyarakat Orang Ulu perlukan BN bangun kawasan

Advertisement

MIRI: Masyarakat Orang Ulu masih memerlukan Barisan Nasional (BN) membangunkan kawasan mereka seterusnya meningkat taraf hidup mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau berkata masyarakat minoriti Orang Ulu harus memperkukuh kerjasama serta menyokong agenda pembangunan kerajaan.

“Kita tidak mahu masyarakat pedalaman Sarawak memutuskan hubungan akrab dengan kerajaan BN sebaliknya terus menyokong kerajaan meneruskan kelangsungan pembangunan,” katanya  ketika melancarkan Program Connect. Engage. Unite (CEU) di Long Banyok Tijar, semalam.

Mengulas lanjut, komuniti Orang Ulu yang berjumlah 300,000 daripada populasi 2.8 juta rakyat Sarawak perlu memberi kepercayaan kepada BN untuk terus memerintah.

“Meskipun jumlahnya kecil, namun sokongan komuniti Orang Ulu terhadap BN harus diperkukuhkan bagi memastikan segala agenda pembangunan kerajaan sampai ke tempat mereka khasnya di luar bandar,” katanya.

Dennis yang juga bakal dicalonkan semula di Telang Usan baru-baru ini menjelaskan bahawa tindakan berpaling kepada pembangkang tidak akan membawa sebarang manfaat kepada mereka.

“Sekuat manapun pembangkang namun mereka tidak akan dapat membawa pembangunan kerana mereka bukan kerajaan yang mampu merealisasikan janji kepada rakyat,” katanya.

Dennis mengambil contoh bahawa Long Banyok sejak 50 tahun lalu berubah secara berperingkat dan membangun mengikut keperluan serta kehendak penduduknya.

“Kerajaan telah menerima pelbagai permohonan pembangunan daripada masyarakat di sini dan kebanyakan kemahuan penduduk ini telah berjaya ditunaikan,” katanya.

Mengulas mengenai program CEU, ia adalah inisiatif kerajaan untuk mentranformasikan masyarakat luar bandar melalui saluran telekomunikasi dan Internet.

“Kita telah menyelusuri setiap kampung di Telang Usan dan Baram dan kebanyakan penduduk dapat dihubungi dengan telefon bimbit dengan menara telekomunikasi yang disediakan kerajaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, menerusi CEU, penduduk pedalaman dapat dihubungi oleh dunia luar pada bila-bila masa berbanding keadaan sebelumnya.

Turut hadir Ahli Parlimen Baram Anyie Nyau, Pegawai Jabatan Penerangan Miri-Bintulu Aba Sam, Pemanca Gilbert Ding, Penghulu Desmond Yap dan Penghulu Lejau Kuleh, Koh Kumbang dan Loius Jalong mewakili JKKK Long Banyok.

Advertisement