Anda di sini

Lelaki ditahan selepas didakwa jual kereta yang disewa ke negara jiran

Advertisement

KUCHING: Seorang lelaki ditahan polis di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) di sini untuk siasatan lanjut kerana didakwa menjual kereta yang disewanya ke negara jiran, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek berkata, suspek berusia 31 tahun dan berasal dari Taman Matang Bersinar pada mulanya ditahan oleh pemilik kereta yang disewa suspek pada jam 6 petang Selasa lepas.

Menurut Ng, suspek yang cuba melarikan diri ke kawasan semak berdekatan bagaimanapun terjatuh ke dalam longkang menyebabkan dia kemudian terus ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pengadu (pemilik kenderaan) terserempak dengan suspek dan terus mengejarnya untuk bertanya kedudukan kenderaan yang dipinjam suspek, namun dia (suspek) terus melarikan sehingga tertangkap di dalam longkang di Jalan Batu Kawa.

“Difahamkan suspek meminjam kenderaan secara sah dengan penjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak, tetapi kenderaan tersebut dijual suspek di Indonesia melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Indonesia,” kata Ng.

Tambah Ng lagi, suspek yang mengalami kecederaan kedua-dua tangannya serta badannya itu kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Suspek dirujuk ke HUS kerana kecederaan yang dialaminya dan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar. Kini dia ditahan di lokap polis untuk siasatan lanjut,” jelas Ng.

Advertisement