Anda di sini

Lagi kedai 7-E dirompak

Advertisement

KUCHING: Sebuah kedai serbaneka 7-Eleven dirompak dan sejumlah wang serta rokok berjenama dilarikan tiga lelaki bersenjatakan parang awal pagi semalam.

Insiden dilaporkan berlaku di cawangannya di Jalan Borneo di sini apabila dua pekerja lelaki di premis tersebut didatangi ketiga-tiga suspek sekitar jam 2 pagi.

Difahamkan, seorang daripada suspek meluru ke arah kaunter sebelum bertindak mengacukan parang dan mengarahkan kedua-dua pekerja terbabit menyerahkan semua wang kepada mereka.

“Pekerja (mangsa) dikatakan cuba menghalang suspek namun terpaksa mengalah apabila melihat suspek memegang parang dan kemudian terus menyerahkan semua wang yang terdapat di dalam mesin tunai tersebut.

“Suspek dan rakannya itu kemudian beredar dari kedai berkenaan dan turut melarikan beberapa kotak rokok berjenama,” kata sumber.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh pekerja terbabit dan beberapa anggota polis dari balai berhampiran juga tiba di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, seorang wanita mengalami kecederaan selepas dibelasah tiga lelaki tidak dikenali berdekatan sebuah kedai 24 jam di Jalan Kota Samarahan Expresway, di sini kelmarin.

Menurut sumber, mangsa berusia 22 tahun semasa kejadian baharu selesai berurusan di kedai berkenaan apabila didatangi ketiga-tiga suspek yang terus memintanya menyerahkan wang tunai serta barang berharga.

“Mangsa bagaimanapun enggan menyebabkan dia terus ditumbuk dan dipukul menggunakan topi keledar sebelum berjaya melarikan diri dari tempat kejadian,” kata sumber.

Mangsa yang mengalami kecederaan itu kemudian segera mendapatkan bantuan selain turut membuat laporan polis berhubung kejadian.

Advertisement