Anda di sini

KIR berdaftar e-Kasih diberi keutamaan bantuan

Advertisement

Mereka yang langsung belum terima bantuan dipastikan dapat sekurang-kurangnya sejenis bantuan tahun ini

// Oleh Nick Fletcher //

 Fatimah menunjukkan statistik KIR di bawah e-Kasih di negeri ini pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Sasar Pembasmian Kemiskinan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching, semalam.

MASIH RAMAI: Fatimah menunjukkan statistik KIR di bawah e-Kasih di negeri ini pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Sasar Pembasmian Kemiskinan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching, semalam.

KUCHING: Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di bawah e-Kasih di negeri ini tetapi langsung belum menerima bantuan akan dipastikan mendapat sekurang-kurangnya satu jenis bantuan pada tahun ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata setakat 15 Februari ini, terdapat 958 golongan Belum Terima Bantuan (BTB) dikenal pasti di negeri ini.

“Saya menyeru agensi pelaksana supaya memberi keutamaan kepada kumpulan ini dengan memberi sekurang-kurangnya satu jenis bantuan kepada mereka misalnya dari segi bantuan pendidikan, peralatan atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Sasar Pembasmian Kemiskinan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, Fatimah berkata kementeriannya juga telah memohon peruntukan sebanyak RM50 juta untuk membantu sekurang-kurangnya 5,000 orang miskin yang berdaftar di bawah e-Kasih di negeri ini melalui program 1AZAM.

Justeru, beliau berharap permohonan tersebut akan diluluskan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Mac nanti.

“Peruntukan ini sangat diperlukan kerana masih terdapat ramai rakyat kita yang miskin tegar dan kita perlu membantu mereka untuk meningkatkan ekonomi melalui program 1AZAM,” katanya.

Menurut Fatimah, sejak mula dilaksanakan pada 2011, program 1AZAM telah membantu seramai 39,330 golongan miskin di negeri ini.

Beliau menambah sehingga 15 Februari ini, terdapat seramai 109,605 KIR yang didaftarkan di bawah e-Kasih direkodkan di Sarawak yang merangkumi 29,587 KIR miskin tegar, 35,209 KIR miskin dan 6,855 KIR mudah miskin.

Pada masa sama, katanya seramai 37,954 KIR yang sudah terkeluar iaitu bertukar status atas sebab berkahwin semula, meninggal dunia, tidak dapat dikesan atau telah meningkat pendapatan hasil daripada program peningkatan pendapatan dan 1AZAM, selain menerima bantuan sara hidup daripada anak-anak.

Advertisement