Anda di sini

Destinasi yang menarik untuk dilawati

Advertisement

// Oleh Henrietta Liza //

 Pemandangan indah di sepanjang tebing sungai Kampung Telaga Air yang menjadi perhentian bagi kaki pancing dan pelancong untuk mendapatkan bot untuk ke destinasi yang dituju.

INDAH: Pemandangan indah di sepanjang tebing sungai Kampung Telaga Air yang menjadi perhentian bagi kaki pancing dan pelancong untuk mendapatkan bot untuk ke destinasi yang dituju.

 Wina berniaga kuih sepit untuk meraih pendapatan sampingan.

USAHANITA: Wina berniaga kuih sepit untuk meraih pendapatan sampingan.

TAMAN Negara Tanah Bencah Kuching mempunyai beberapa destinasi berkualiti untuk dijadikan kawasan ekopelancongan yang menarik untuk dilawati.

Pegawai Pemelihara Hutan Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Irmadiana Ardi berkata masih ramai yang belum mengetahui mengenai kewujudan tempat-tempat menarik tersebut yang terletak berdekatan dengan Taman Negara Tanah Bencah Kuching.

“Kami mengadakan lawatan bersama media untuk meninjau potensi kawasan taman ini bersempena dengan sambutan Tanah Bencah Sedunia yang akan diadakan pada 25 Februari di Pulau Salak,” katanya ketika ditemui selepas tamat lawatan bersama media ke Taman Negara Tanah Bencah Kuching baru-baru ini.

Perkampungan nelayan, Kampung Salak, kini sudah masuk lebih tiga bulan mengusahakan penternakan kerang sebagai pendapatan sampingan penduduk di Muara Kilong.

Menurut pihak JHS, sebanyak dua tan benih anak kerang telah dilepaskan di kawasan muara kampung tersebut dan dijangka dalam tempoh enam bulan lagi hasilnya sudah boleh dituai.

Berdekatan dengan kampung tersebut hidupan liar seperti ‘Orang Belanda’ dan ‘Lutong Kelabu’ dapat dilihat berkeliaran mencari makanan pada waktu subuh dan petang.

Pucuk pokok Perepat yang merupakan makanan kepada ‘Orang Belanda’ bertukar menjadi ‘lampu hiasan’ pada waktu malam oleh sang kelip-kelip, katanya.

Pihak JHS turut membawa media melewati kawasan Loba Kilong yang dimaklumi merupakan habitat kepada haiwan pemangsa, buaya.

Populasi reptilia tersebut kini di antara 400 hingga 500 ekor di sepanjang tebing Taman Negara Tanah Bencah Kuching.

Bagaimanapun, pihak JHS memberitahu bahawa anak buaya sering menjadi mangsa kepada haiwan mamalia, memerang.

Sementara Kampung Telaga Air pula menjadi perhentian bagi kaki pancing dan pelancong untuk mendapatkan bot untuk ke destinasi yang dituju.

Kawasan sekitarnya mempunyai khazanah udang dan ikan air tawar yang banyak seperti ikan kerapu dan ikan merah yang mengunjur sehingga ke kawasan perkampungan Sibu Laut.

Di Kampung Sungai Aur pula terdapat perusahaan pembuatan kuih tradisional ‘kuih sepit’ menggunakan arang pokok bakau.

Wina Karim, 48, mewarisi kepakaran membuat kuih sepit daripada sepupunya demi membantu suami untuk meraih pendapatan sampingan.

Beliau kini sering mendapat tempahan dan permintaan daripada penduduk di kawasan sekitar bandar raya.

Wina berkata setiap peket mengandungi 50 keping kuih sepit dijual pada harga RM5.

Beliau yang turut dibantu oleh empat rakan wanita mampu menghasilkan di antara 500 hingga 700 keping kuih sepit dalam sehari.

Produk beliau telah dipasarkan ke Kampung Telaga Air, kawasan Masjid Besar Kuching dan Padang Pasir sejak tahun 2001.

 Suasana damai di perkampungan nelayan, Kampung Salak.

DAMAI: Suasana damai di perkampungan nelayan, Kampung Salak.

 Pemandangan di jeti di Samariang Batu.

KEMUDAHAN: Pemandangan di jeti di Samariang Batu.

 Seekor buaya dilihat di tebing Taman Negara Tanah Bencah Kuching.

SANG PEMANGSA: Seekor buaya dilihat di tebing Taman Negara Tanah Bencah Kuching.

Advertisement