Anda di sini

M’sia komited kurangkan pelepasan karbon bagi sektor penerbangan

Advertisement

SINGAPURA: Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan karbon bagi sektor penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata kemampanan alam sekitar dan kerjasama yang lebih kukuh dengan Kesatuan Eropah (EU) adalah antara topik perbincangan utama yang dibangkitkan oleh Malaysia pada Sidang Kemuncak Kepemimpinan Penerbangan Pertunjukan Udara Singapura (SAALS) 2016.

“Malaysia menyatakan sokongan bagi usaha ini sambil memastikan bahawa langkah-langkah ini adalah selaras dengan dasar negara bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG),” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

“Ini selaras dengan cadangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk menangani pengurangan pelepasan karbon dioksida melalui Global Market-Based Measures (GMBM) yang diambil oleh peserta penerbangan antarabangsa,” kata beliau.

Justeru, Liow berkata Malaysia akan menghadiri Global Aviation Dialogues (GLAD) yang akan diadakan pada Mac 2016 untuk membincangkan lebih lanjut berkenaan konsep dan aplikasi draf dasar tersebut.

Beliau berkata inisiatif-inisiatif di bawah GMBM termasuk teknologi pesawat, penambahbaikan operasi, skim GMBM dan bahan api alternatif yang menyumbang kepada faedah alam sekitar dalam sektor penerbangan.

Liow berkata kerjasama antyarabangsa adalah tunggak penting untuk memastikan kemajuan yang berterusan bagi sektor penerbangan awam negara.

Semasa sidang kemuncak itu, Liow berkata Malaysia melahirkan komitmennya untuk mematuhi sepenuhnya Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif (CATA) antara EU dan ASEAN.

Perjanjian itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama ASEAN-EU mengenai penerbangan awam dengan tujuan untuk mempromosikan perjalanan udara antara kedua-dua rantau dan meningkatkan keselamatan dan pengawasan penerbangan, kata beliau.

“Memandangkan Malaysia adalah salah satu penyumbang utama dalam sektor penerbangan ASEAN yang semakin meningkat, yang pastinya akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini, kami berharap perjanjian dapat dimuktamadkan tidak lama lagi kerana ia dijangka membawa manfaat ekonomi kepada negara dan ASEAN,” kata beliau.

Selain  itu, Liow berkata semasa forum bersama Presiden Majlis ICAO, Dr Olumuyiwa Benard Aliu, Malaysia mengulangi komitmennya berhubung dengan pematuhan kepada Standard ICAO dan Amalan-Amalan yang Disyorkan (SARPS) sebagai usaha penting untuk memastikan keselamatan dan pengawasan dalam ekosistem penerbangan.

Dalam menyokong inisiatif ‘No Country Left Behind’ oleh ICAO, Liow berkata Malaysia sebelum ini telah menandatangani MoU dengan Suruhanjaya Penerbangan Awam Amerika Latin (LACAC) dan Suruhanjaya Penerbangan Awam Afrika (AFCAC) serta Perjanjian Kerjasama dengan Persidangan Penerbangan Awam Eropah (ECAC).

Di bawah inisiatif itu, Malaysia komited untuk menyediakan pembangunan kemahiran dan latihan kepada kakitangan penerbangan dalam blok serantau, terutama kursus-kursus SARPS di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). — Bernama

Advertisement