Anda di sini

Kepimpinan Adenan masih diperlukan

Advertisement

BINTULU: Kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem masih diperlukan oleh rakyat untuk terus memimpin dan mentadbir negeri Sarawak.

Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata kepimpinan ketua menteri yang mesra rakyat serta langkah-langkah yang telah diambil yang menjaga hak dan kebajikan rakyat negeri ini merupakan sifat amanah yang diperlukan untuk mentadbir Sarawak.

“Beliau (Adenan) seorang insan biasa yang sederhana, berjiwa rakyat, selalu bertemu rakyat, tidak membesarkan diri malahan makan dan minum di tempat biasa (awam) serta bergaul mesra dengan rakyat,” ujarnya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Malam Mesra Rakyat Bersama Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak di Padang Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew malam kelmarin.

Selain itu, Talib berkata Ketua Menteri suatu ketika dahulu juga terkenal sebagai menteri tol, menteri tanah dan kini turut terkenal dengan tindakannya menghapuskan tol di negeri ini.

“Buktinya kini rakyat tidak lagi perlu bayar tol di Sibu, Miri dan Kuching. Ia merupakan tindakan mesra rakyat yang wajar diberi sokongan sebagai seorang pemimpin bersifat amanah dan telus,” katanya.

Beliau berkata, Adenan juga tegas dalam tindakannya membanteras pembalakan haram yang memberi makna hak rakyat Sarawak dijaga.

“Beliau tegas, bukan sahaja keluarga tidak terlibat dalam industri pembalakan dan perladangan malahan sesiapa yang mencuri kayu balak akan ditangkap.Tindakan itu bermakna cukai tidak hilang dan alam sekitar terjaga,” jelasnya.

Dengan adanya sifat itu katanya, pentadbiran negeri Sarawak akan terus teguh, justeru rakyat negeri ini diseru memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Ujarnya, Ketua Menteri mempunyai falsafah sebagai seorang pemimpin yang tegas serta amanah dan beliau perlu diberi peluang untuk mentadbir Sarawak lima tahun lagi.

Ini kerana katanya, kita perlu hormat pemimpin yang berjiwa rakyat, berkhidmat kepada rakyat sehingga kita dapat sama-sama menikmati hasil kepimpinannya.

Beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri atas kepimpinannya itu sekali gus berharap sokongan rakyat akan terus meningkat untuk beliau terus memimpin serta mentadbir negeri Sarawak dengan jayanya.

Advertisement