Anda di sini

Beri sokongan padu kepada calon Ba’Kelalan

Advertisement

LAWAS: Semua pihak diminta memberi sokongan padu terhadap calon BN yang bakal dipilih Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk mewakili kerusi Ba’Kelalan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata mereka juga dinasihatkan agar tidak merajuk sekiranya tidak dipilih sebagai calon.

“Siapapun dipilih sebagai calon mewakili BN di kawasan Ba’Kelalan kita semua perlu menyokong.

“Jika tidak dipilih jangan merajuk dan jangan membawa kumpulan lain menentang kerajaan,” katanya pada Program Memperkasa Jentera PRN Sarawak Ke-11 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota, Batu Danau, Bukit Sari dan Ba’Kelalan di Stadium Tertutup Lawas semalam.

Awang Tengah berkata, hanya ada seorang calon sahaja dipilih untuk Ba’Kelalan bagi mengelak mereka bergaduh sesama sendiri.

“Kita harus memastikan siapa dipilih perlu disokong dan bersatu kerana kita mahu Ba’Kelalan kembali kepada BN sekali gus memastikan kaum Lun Bawang maju bersama BN,” ujarnya.

Beliau berkata, Ba’Kelalan kini diwakili pembangkang tidak dapat membawa pembangunan sedangkan masih banyak keperluan perlu dilaksanakan.

Jelasnya, kerajaan juga ingin melihat anak-anak Ba’Kelalan kekal bersama dalam arus pembangunan dan semua itu dapat dilaksanakan jika mereka bersama dengan kerajaan BN.

“Selain itu, parti komponen BN sudah bersedia dengan lebih baik untuk PRN nanti.

“PRN akan tiba, justeru kita perlu menggembleng tenaga supaya kita terus memastikan kawasan kita menjadi kubu kuat BN,”katanya.

Menurutnya, PRN amat penting bagi memastikan kerajaan BN akan memperolehi majoriti besar.

“Ini akan memberi mandat kepada Adenan sebagai Ketua Menteri terus memperjuang suara rakyat yang mahukan pembangunan dan kesejahteraan hidup,” katanya.

Beliau memberitahu, PRN kali ini juga berdepan banyak cabaran daripada pembangkang khusus dari Semenanjung Malaysia yang mempunyai ideologi berbeza.

Advertisement