Anda di sini

Sokongan terkuat, PBB tuntut kerusi Serembu

Advertisement

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.18 Serembu mahu kerusi baharu itu diberikan kepada parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) akan datang.

Ini kerana, menurut Ketua Pemudanya Prem Notes, jentera PBB adalah yang terkuat di Serembu berbanding parti lain dari segi keahlian dan juga sokongan yang diterima daripada akar umbi.

“Kami mahu pemimpin tertinggi parti dan Barisan Nasional (BN) tahu bahawa kami serius dalam perkara ini dan telah bekerja keras di lapangan bersama akar umbi untuk memastikan Serembu menjadi kubu kuat PBB.

“Sebab itu, kami menolak tuntutan yang dibuat oleh mana-mana parti lain ke atas Serembu kerana secara logiknya ia adalah milik PBB sebagai parti majoriti di kawasan ini,” ujarnya.

Prem berkata demikian pada sidang media bersama antara Pemuda dan Wanita PBB N.18 Serembu di sebuah restoran di sini, semalam.

“Setakat ini, berdasarkan kepada program yang dilaksanakan oleh kami di Serembu seperti Jelajah PBB, kami menerima sokongan yang amat memberangsangkan daripada rakyat dan pengundi.

“Sebagai rekod, PBB Serembu mempunyai 33 ranting yang dibahagikan kepada lapan zon dengan jumlah keahlian seramai 3,500 orang.

“Malah, parti juga telah membuka sebuah pejabat pentadbiran baharu di pekan Bau yang mana akan dirasmikan pada 21 Februari ini,” tambahnya.

Dalam pada itu hanya seorang calon berpotensi menang yang merupakan anak jati Serembu dikenal pasti untuk bertanding atas tiket PBB di Serembu.

Malah difahamkan, calon tersebut mendapat sokongan penuh daripada Pemuda dan Wanita PBB Serembu yang tidak akan membiarkan kerusi itu jatuh ke tangan parti lain.

Dari segi pecahan peratusan pengundi, majoriti atau 75 peratus pengundi Serembu adalah dari kalangan Bidayuh, 20 peratus Cina dan lima peratus Melayu.

 

Advertisement